بسم الله الرحمن الرحيم
1.Kementerian Hal Ehwal Ugama ingin
mengumumkan bahawa sebagaimana kelazimannya, Majlis Ibadah Korban akan diadakan
di masjid-masjid, surau-surau dan balai ibadat seluruh negara selepas selesai
menunaikan Sembahyang Hari Raya Aidiladha dan pada Hari-Hari Tasyrik.
2.Alhamdulillah, pada masa ini
langkah-langkah pengurangan kawalan wabak Covid-19 berada di Tahap 5, maka Ahli
Jawatankuasa Takmir Masjid yang berhasrat untuk mengadakan Majlis Ibadah Korban
hendaklah mengikuti garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) yang
telah ditetapkan dengan berpandukan kepada nasihat daripada Kementerian
Kesihatan. Garis panduan ini adalah untuk memastikan keselamatan diri Ahli
Jawatankuasa Takmir Masjid dan peserta ibadah korban serta para jemputan dalam
sama-sama membendung penularan wabak Covid-19 di negara ini.
3.Binatang korban hendaklah diuruskan
oleh petugas yang diaturkan dan disembelih di tempat penyembelihan yang
dikhaskan. Elakkan kehadiran orang awam yang terlalu ramai di tempat
penyembelihan, agar dapat menghindarkan wujudnya perkumpulan ramai yang
lazimnya dilakukan.
4.Di samping itu, garis panduan ini juga
adalah untuk menjamin kebersihan dan keselamatan daging-daging korban yang
perlu diberi keutamaan. Petugas pelapah daging korban hendaklah sentiasa
menjaga kebersihan, mencuci tangan dengan betul, memakai sarung tangan dan
sungkup muka (face mask). Bagi seekor kerbau atau sapi adalah dihadkan kepada 4–5
orang petugas dan seekor kambing dihadkan kepada 2 orang petugas sahaja.
5.Sementara pengagihan daging korban
bolehlah dilaksanakan di perkarangan masjid dengan mematuhi SOP yang telah
ditetapkan. Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, peserta Ibadah Korban dan orang
ramai hendaklah mengimbas kod QR dan digalakkan memeriksa suhu badan dan
mensanitasi tangan apabila masuk ke kawasan masjid. Kaedah pengagihan juga
boleh dibuat secara pandu lalu (drive thru) atau jalan lalu (walk thru).
6.Akhirnya, sama-samalah kita terus
mengamalkan sikap berjaga-jaga, tidak leka dan lalai demi kemaslahatan dan
keselamatan negara, semoga negara kita sentiasa terpelihara daripada ancaman
wabak Covid-19 ini, dan kita semua mendapat rahmat dan keberkatan daripada
Allah Subhanahu Wata’ala jua, Aamiin Ya Rabbal Alamiin.