Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
|
Version HistoryVersion History

MAJLIS PENYERAHAN BUKU DOA QUNUT NAZILAH BAGI MENGHINDARI WABAK COVID-19

Selasa, 05 Mei 2020M–Pada menjunjung Titah Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Menyambut Bulan Ramadhan Tahun 1441 Hijrah/2020 Masehi baru-baru ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah menyediakan teks Doa Qunut Nazilah yang ringkas dan padat untuk diedarkan kepada orang ramai. Ia dibaca untuk menolak kecelakaan, bala bencana atau bahaya yang menimpa umat Islam seperti ketakutan, kemarau, wabak penyakit dan seumpamanya.

Antara kandungan dalam Titah Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam tersebut menyatakan:

"Pada hemat Beta, Qunut Nazilah masih saja perlu diteruskan, terutama dalam situasi kita menghadapi wabak COVID-19. Beta difahamkan, Qunut Nazilah tidak semestinya hanya dilakukan di Masjid secara berjemaah pada Hari Jumaat, malah ia juga boleh dibuat di rumah, sama ada secara berjemaah dengan keluarga atau bersendirian didalam sembahyang-sembahyang fardhu lima waktu. Tetapi masih juga boleh dipilih mana waktu yang kita mampu atau sesuai melakukannya, seperti dalam Sembahyang Subuh atau Maghrib, tanpa memestikan ia dibuat dalam kesemua lima-lima waktu. Yang penting, Qunut ini terus dibaca, sementara menunggu Masjid, Surau dan Balai Ibadat beroperasi semula."

Ke arah itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid dan Jabatan Percetakan Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama beberapa buah stesen minyak di negara ini telah mengambil inisiatif untuk mengagihkan buku Doa Qunut Nazilah Bagi Menghindari Wabak COVID-19 dan poster teks Doa Qunut Nazilah kepada orang ramai khususnya pelanggan-pelanggan yang singgah untuk mengisi tangki minyak. Penyerahan buku doa tersebut berlangsung serentak di keempat daerah di beberapa buah stesen minyak terpilih.

Penyerahan di Daerah Brunei Muara telah diagihkan oleh Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Yang Mulia Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri dan Pemangku Pengarah Jabatan Percetakan Kerajaan, Yang Mulia Awang Hj Kamarul Azam Bin Hj Mohammad. Penyerahan buku dan poster tersebut berlangsung di Stesen Minyak Stesen minyak Koperasi Ikatan Teluk Mewah Mentiri.


Bagi Daerah Tutong penyerahan berlangsung di Stesen Minyak Penyurat Haji Abu Bakar, Kampong Suran, Pekan Tutong, penyerahan telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Ugama Daerah Tutong, Yang Mulia Awang Haji Azman bin Haji Musa.

Sementara di Daerah Belait, penyerahan diadakan di Stesen Minyak Koperasi Sapakat Kuala Belait dan telah diagihkan oleh Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Yang Mulia Awang Mohammad Aliyani bin Haji Ismail.

Manakala di Daerah Temburong, pengagihan dilaksanakan di Stesen Minyak Negalang oleh wakil Ketua Pegawai Ugama Daerah Temburong, Yang Mulia Awang Elde bin Haji Suhaili, Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Temburong.


Penerbitan Buku Doa Qunut Nazilah Bagi Menghindari Wabak COVID-19 dan Poster Teks Doa Qunut Nazilah ini telah disediakan perisiannya oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid, sementara itu cetakannya adalah hasil sumbangan ihsan Jabatan Percetakan Kerajaan. Buku dan poster ini juga akan terus diagihkan kepada sektor kerajaan dan sektor swasta di negara ini.

Maka selaku rakyat negara ini, sama-samalah kita menjunjung kasih di atas kurnia titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam itu dan sama-samalah kita mengamalkan Doa Qunut Nazilah ini, semoga wabak COVID-19 ini akan dapat kita tangani dengan segera.

Attachments