Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
|
Version HistoryVersion History

MAJLIS PELANCARAN PERKHIDMATAN BIBD QUICKPAY BAGI KEWANGAN TABUNG MASJID, SURAU DAN BALAI IBADAT DAN TABUNG DANA BAGI PEMBINAAN MASJID NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Kampong Kiarong, Khamis, 25hb. Sapar 1442H bersamaan 15hb. Oktober 2020M-Orang ramai kini berpeluang untuk menyumbang ke Kewangan Tabung Masjid, Surau dan Balai Ibadat dan juga ke Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam melalui perkhidmatan BIBD QuickPay (Bank Islam Brunei Darussalam).

Pelancaran Perkhidmatan BIBD QuickPay Bagi Kewangan Tabung Masjid, Surau dan Balai Ibadat dan Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam selaku Tetamu Kehormat Majlis. Majlis pelancaran berlangsung di Dewan Serbaguna Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampong Kiarong.


Perkhidmatan ini adalah hasil kerjasama pihak Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) bagi memudahkan orang ramai yang berkeinginan untuk menderma ke tabung-tabung masjid termasuk Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam. Sebanyak 65 buah masjid, surau dan balai ibadat akan menggunakan perkhidmatan BIBD QuickPay ini.

Mengiringi Tetamu Kehormat bagi Pelancaran Perkhidmatan BIBD QuickPay Bagi Kewangan Tabung Masjid, Surau dan Balai Ibadat serta Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam tersebut ialah Yang Mulia Awang Mubashar Khokhar, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Brunei Darussalam BIBD dan Yang Mulia Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam.

Perkhidmatan BIBD QuickPay merupakan perkhidmatan bayaran cepat tanpa tunai melalui QR (Quick Response) yang mana pengguna hanya perlu mengimbas imej kod QR melalui aplikasi BIBD Online.

Penggunaan perkhidmatan ini juga adalah menyokong aspirasi kearah menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Pintar (Smart Nation).

Antara kelebihan penggunaan perkhidmatan BIBD Quickpay adalah ianya sangat dan selamat untuk digunakan serta tiada risiko keselamatan berhubung dengan pengendalian dan penyimpanan wang tunai di masjid. Selain itu memudahkan pihak masjid membuat pemantauan melalui akaun semasa sekaligus mengurangkan masa pengurusan wang secara tunai bagi pihak masjid. Penggunaan BIBD QuickPay sekaligus dapat membantu merealisasikan misi negara bagi mencapai dan menjana masyarakat tanpa wang tunai.

Pelancaran tersebut memberi peluang kepada masyarakat di Negara ini menginfaqkan (membelanjakan) harta yang dimilikinya dengan niat sebagai ibadah dan melipatgandakan amal kebajikan mereka semata mata bagi meraih ganjaran pahala yang di janjikan Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada orang-orang yang menderma.

Majlis Pelancaran tersebut turut diserikan dengan tayangan video klip Pelancaran Perkhidmatan BIBD QuickPay dan penyampaian poster perkhidmatan BIBD QuickPay kepada wakil-wakil setiap kementerian oleh Tetamu Kehormat majlis.

Acara pada hari tersebut diakhiri dengan Doa Selamat yang dibacakan oleh Yang Mulia Awang Ahmad Syafiq bin Haji Osman, Pegawai Hal Ehwal Masjid Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampong Kiarong.







           
Attachments