Kampong Bolkiah, Sabtu, 12hb. Rabiulakhir
1442H bersamaan 28hb. November 2020M-Dikir Syarafil Anam merupakan salah satu
khazanah yang berharga yang telah diwarisi oleh orang-orang Melayu Brunei dan
meruapakan salah satu kebudayaan berugama yang telah diamalkan dalam kehidupan
orang-orang Brunei sejak zaman berzaman.
Dikir Syarafil Anam mengandungi selawat
dan salam serta kisah kehidupan dan keperibadiaan yang agung yang dimiliki oleh
junjungan Besar Nabi Muhammad Shallalahu ‘Alaihi Wasallam yang telah
dianugerahkan oleh Allah Subhanahu WaTa’ala dengan berbagai keistemewaan. Sudah
setentunya sesiapa yang membaca kitab ini akan beroleh pahala, berkat dan
rahmat dari Allah Subhanahu wataalah dan mendapat syafa’at dari Nabi Muhammad
Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Sehubungan dengan itu, bersempena dengan
memperingati 20 tahun penubuhan Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan
Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Bagi Tahun
1442H/2020M, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal
Bolkiah dengan Kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama,
Negara Brunei Darussalam telah mengadakan Pertandingan Dikir Syarafil Anam Bagi
Belia dan Beliawanis Masjid Senegara.
Pertandingan berlangsung di masjid berkenaan.
Sebanyak 18 pasukan berentap dalam
pertandingan tersebut terdiri daripada 09 pasukan belia masjid dan 09 pasukan
beliawanis masjid. Bahagian Belia Masjid para pasukan akan membawakan Alhamd
(Dikir Syarafil Anam). Manakala bagi Bahagian Beliawanis pula para pasukan akan
membawakan Bishahri (Dikir Syarafil Anam).

Hadir selaku Tetamu Kehormat dan
seterusnya berkesudian menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Yang
Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim. Setiausaha Tetap, Kementerian
Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam.
Tujuan pertandingan ini diadakan adalah
sempena memperingati hari penubuhan Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah
yang ke-20 tahun dengan majlis keagamaan. Disamping memberikan bimbingan dan
pendedahan serta memberikan peluang para peserta untuk mempelajari teknik
/kaedah bedikir yang betul agar mampu mempersembahkan Dikir Syarafil Anam
dengan baik dan sempurna. Acara ini juga bertujuan untuk memperbaiki dan
meningkatkan lagi mutu bacaan Dikir Syarafil Anam dari segi Fashahah, lagu dan
suara. Selain itu menggalakan para peserta supaya akan terus mempelajari dan
menguasai lagu-lagu dikir agar dapat menyampaikan hajat masyarakat awam
khususnya bagi menyerikan acara keagamaan. Pertandingan ini juga dihasrat untuk
menggalakan para peserta sentiasa mengamalkan selawat kepada Nabi Muhammad
Shallahu 'Alaihi Wasallam supaya menjadi amalan harian dan beroleh barkat
daripadanya sekaligus memeriahkan dan membesarkan lagi suasana sambutan
Maulidur Rasul Shallallahu 'Alaihi Wasallam.
Semoga dengan adanya pertandingan
seumpama ini diharap dapat melahirkan belia dan beliawanis masjid pandai
membawakan Dikir Syarafil Anam dengan baik dan sempurna.


