
ONG SUM PING, Isnin, 27hb. Jamadilawal
1442H bersamaan 11hb Januari 2020M-Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta
Pemahamannya merupakan salah satu projek tahunan Kementerian Hal Ehwal Ugama
melalui Pusat Pengajian Dan Penyebaran Al-Quran MABIMS bagi menyemarakkan
Hari-Hari Kebesaran Islam dan ia merupakan pengisian dalam aturcara Majlis
Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara yang diadakan setiap tahun.
Musabaqah Peringkat Saringan pada tahun
ini akan dijalankan secara tertutup di Bilik Mesyuarat Pusat Pengajian Dan
Penyebaran Al-Quran MABIMS Blok 2H Tingkat
8, (2H8:04), Kondominium Ong Sum Ping, Jalan Ong Sum Ping, Bandar Seri
Begawan, BA1311, Negara Brunei Darussalam.
Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta
Pemahamannya ini dibahagikan kepada 5
kategori seperti tahun-tahun sebelumnya iaitu Kategori A, B, C, D dan E.
Kategori 'A', Terbuka kepada peserta yang
berumur 13 tahun ke bawah yang lahir pada
01 Mei 2008 dan selepasnya; tidak pernah menjadi johan dalam Kategori
'A' sebanyak 2 kali berturut-turut dan bukan terdiri dari penuntut Institut
Pengajian Tahfiz Al-Quran dalam dan luar negeri semasa mendaftar dan menghantar
borang permohonan. Peserta akan menghafaz surah-surah pilihan dari Juz 30 iaitu
Surah Al-Muthaffiffiin, Surah Al-Insyiqaaq, Surah Al-Buruuj, Surah At-Taariq,
Surah Al-A’laa, Surah Al-Ghaasyiyah, Surah Al-Fajr, Surah Al-Balad, Surah
Asy-Syams, Surah Al-Lail dan Kompilasi Surah-surah Lazim bermula dari Surah
Ad-Dhuha hingga Surah An-Nas berserta pemahaman Surah An-Naba’, Surah
An-Nazi’at, Surah Abasa, Surah At-Takwir, Surah Al-Infithar.
Kategori 'B', terbuka kepada murid-murid
berumur 14 tahun keatas dan Tidak menerima Elaun Ujian Tasmie’ Menghafaz
Al-Quran Negara Brunei Darussalam dalam kategori 10, 20 dan 30 juz 4 kali
berturut-turut secara kebelakangan dari tarikh tutup penyertaan, Tidak pernah
menjadi Johan dalam Kategori ‘B’ sebanyak 2 kali berturut-turut(1440H/2019M dan
1441H/.2020M), Bukan terdiri dari penuntut Institut Pengajian Tahfiz Al-Quran
dalam dan luar negeri semasa mendaftar / menghantar borang permohonan. Peserta
akan menghafaz surah-surah pilihan iaitu
Surah Al-Kahfi, Surah Luqman, Surah
As-Sajdah, Surah Ar-Rahmaan, Surah Al- Waqi’ah, Surah Al-Mulk, Surah Al-Insaan,
Surah Yaasiin, Surah Jiin berserta pemahaman Surah Al-Jumu’ah dan Surah An-Nur.
Manakala kategori 'C', terbuka kepada
semua peringkat umur; dan tidak pernah menerima Elaun Ujian Tasmie' Menghafaz
Al-Quran Negara Brunei Darussalam dalam Kategori 10,20 dan 30 Juz, serta tidak
pernah menjadi johan dalam Kategori 'C' sebanyak dua kali berturut-turut. Peserta
akan menghafaz 3 Juz Al-Quran iaitu dari Juz 1 hingga Juz 3 berserta Pemahaman
Surah An-Nissa’.
Kategori 'D' pula, terbuka kepada semua
peringkat umur, Tidak pernah menerima Elaun Ujian Tasmie’ Menghafaz Al-Quran
Negara Brunei Darussalam dalam kategori 30 juz. Tidak menjadi Johan dalam
Kategori ‘D’ sebanyak 2 kali berturut-turut. Peserta akan menghafaz 15 Juz
Al-Quran iaitu daripada Juz 1 hingga Juz 15 berserta Pemahaman Surah Maryam dan
Surah Thaha.
Dan kategori 'E', terbuka kepada semua
peringkat umur; dan tidak pernah menjadi johan 3 tahun berturut-turut dalam
Kategori menghafaz 30 juz, dan hanya boleh menyertai musabaqah semula iaitu
selepas 2 tahun menjadi johan. Peserta akan menghafaz 30 Juz Al-Quran iaitu
dari Juz 1 hingga Juz 30 berserta Pemahaman Surah Asy-Syura, Surah Az-Zukhruf,
Surah Ad-Dukhan, Surah Al-Jatsiah.
Seperti lazimnya Musabaqah ini akan diadakan
dalam tiga peringkat iaitu Peringkat Saringan Kebangsaan, Peringkat Separuh
Akhir Kebangsaan, Peringkat Akhir Kebangsaan.
Seramai 298 orang peserta telah mendaftar
untuk mengikuti Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat
Saringan Kebangsaan Tahun ini.
Kategori ‘A’ seramai 93 orang (48 lelaki
dan 45 perempuan); Kategori ‘B’ seramai 34 orang (13 lelaki dan 21 perempuan);
Kategori ‘C’ seramai 108 orang (56 lelaki dan 52 perempuan); Kategori ‘D’
seramai 43 orang (28 lelaki dan
15 perempuan); dan Kategori ‘E’ seramai 20 orang (11 lelaki dan 9 perempuan).
Seramai 12 orang peserta akan dipilih
bagi setiap kategori yang mempunyai markah 65% ke atas untuk masuk ke Peringkat
Separuh Akhir Kebangsaan.
Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta
Pemahamannya Peringkat Saringan
Kebangsaan Tahun 1442 Hijrah ini
berlangsung selama 7 hari dan bermula hari ini, Isnin, 27hb Jamadilawal 1442H bersamaan 11hb Januari
2021M hingga 5hb Jamadilakhir 1442H bersamaan 19hb Januari 2021M.






