Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
|
Version HistoryVersion History

KETIBAAN AWAL TAHUN 1443 HIJRAH TETAP DIRAIKAN

Bandar Seri Begawan, hari Isnin malam Selasa, 01hb Muharram 1443H bersamaan 09hb Ogos 2021M–Meskipun kedatangan awal tahun hijrah tahun ini tidak dapat disambut di peringkat negara seperti lazimnya disebabkan perkembangan terkini kes wabak COVID-19 di negara kita, namun umat Islam di negara ini diserukan untuk tetap memperingati dan meraikan hari kebesaran Islam ini dengan membaca Doa Akhir dan Awal Tahun di rumah masing-masing, sama ada secara persendirian atau berjemaah di kalangan ahli keluarga serumah.

Bagi menandakan tibanya awal tahun 1443 Hijrah, 21 das tembakan meriam telah dilepaskan diperkarangan Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah petang ini sebelum azan fardhu Maghrib dilaungkan.

Masjid, surau dan balai-balai ibadat seluruh negara turut membacakan Doa Akhir dan Awal Tahun dengan menggunakan pembesar suara yang boleh didengar dan diikuti oleh orang ramai yang tinggal di sekitar kejiranan masjid, surau dan balai-balai ibadat berkenaan.

Tema Sambutan Awal Tahun 1443 Hijrah ialah ‘Belia Berilmu dan Beramal Salih Pemangkin Negara Berkat’.

Konsep penghijrahan hendaklah berterusan di kalangan umat Islam sesuai dengan sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud: “Dari Muawiyah Radiallahu ‘Anhu ia berkata : Aku telah mendengar Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda : Hijrah itu tidak akan terhenti sehinggalah tertutupnya peluang taubat dan peluang taubat itu tidak akan tertutup sehinggalah matahari terbit dari tempat terbenamnya.”

Melalui hadith di atas jelas menunjukkan bahawa umat Islam perlu melakukan hijrah, iaitu berubah daripada perlakuan negatif kepada positif. Dalam erti kata lain umat Islam perlu berusaha meninggalkan segala perbuatan yang mendatangkan keburukan lebih-lebih lagi perbuatan yang dilarang Allah dan ini sejajar dengan nama khusus atau ucapan khusus bagi Sambutan Awal Tahun Hijrah iaitu الِىَ الهْجِرْةَ (Ilal Hijrah) yang membawa maksud “menuju kepada penghijrahan”. Kata-kata sambutan mengalu-alukan kedatangan tahun baru hijrah dengan semangat mengajak umat Islam sentiasa istiqamah dalam mengubah diri kepada yang lebih baik dari tahun ke setahun.

Mudah-mudahan dengan memperingati peristiwa hijrah ini, kita akan bertekad mengubah keadaan hidup yang lebih baik dan sempurna di samping mencapai tahap keimanan dan kehidupan yang seiring dengan umat lain sebagaimana yang dituntut dalam Islam. Hakikatnya umur kita tidaklah panjang dan ianya hanyalah dipinjamkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan apabila ajal tiba, semua yang kita miliki akan meninggalkan kita dan yang akan kekal setia adalah amal kebajikan yang dilakukan semasa hidup.

Pegawai-pegawai yang bertugas



 

 

Attachments