Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
|
Version HistoryVersion History

MUNAJAT WARGA KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA

Hari Sabtu, 11 Safar 1443H bersamaan 18 September 2021M–Dalam usaha bersama membendung penularan wabak COVID–19 di Negara Brunei Darussalam, warga Kementerian Hal Ehwal Ugama lewat petang tadi telah mengadakan majlis Munajat warga Kementerian Hal Ehwal Ugama secara maya dari kediaman masing-masing. Seramai 1500 orang warga Kementerian Hal Ehwal Ugama bersama dengan keluarga telah turut serta dalam menjayakan Majlis Munajat berkenaan yang secara julung kalinya diadakan secara maya.

Munajat warga Kementerian Hal Ehwal Ugama adalah merupakan salah satu usaha dan pendekatan Kementerian ini dalam mendekatkan diri warganya dalam memohon keampunan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala, dengan sama-sama bermunajat, beristighfar, berzikir dan merafa’kan doa secara serentak beramai-ramai dengan doa dan harapan agar rakyat dan Negara Brunei Darussalam terhindar dan terselamat dari segala bala bencana dan penyakit merbahaya khasnya wabak COVID19 yang melanda Negara Brunei Darussalam.

Munajat warga Kementerian Hal Ehwal Ugama telah dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan bacaan Surah Al-Fatihah yang di pimpin oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam.

Aturcara majlis diikuti dengan bacaan Surah Yaasin beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Najib bin Haji Aliakbar, Pegawai Pelajaran di Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Negara Brunei Darussalam.

Majlis Munajat di malam itu diisikan dengan Zikir Istighfar dan Taubah beramai-ramai dan diteruskan dengan bacaan Doa bagi Memohon Terhindar dari Wabak COVID-19 oleh Yang Mulia Ustaz Awang Muhammad Yusri bin Haji Abdul Majid, Pegawai Perkembangan Ugama, Urusetia Program Keugamaan Belia, Pusat Da’wah Islamiah. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dalam kata-kata ucapan penghargaannya telah merakamkan penghargaan terima kasih kepada seluruh warga Kementerian yang telah menyertai dan telah terlibat dalam mengungkayahkan majlis Munajat warga Kementerian Hal Ehwal Ugama secara maya. Menurut Yang Berhormat Pehin, acara Munajat warga Kementerian Hal Ehwal Ugama yang telah sempurna dilaksanakan adalah sebagai tambahan kepada amal ibadat yang sudah biasa kita lakukan, kerana dalam keadaan COVID19 sekarang ini, kita menerima cabaran ini untuk lebih bertaqarrub iaitu mendekatkan diri kepada Allah.

Yang Berhormat Pehin menjelaskan bahawa kita mengadakan amal ibadat khas dengan bermunajat dan berzikir kehadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala adalah bagi memohon agar kita senegara terlepas dari segala penyakit dan memohon agar Allah Subhanahu wa Ta’ala merahmati kita dengan belas kasihanNya jua, mengangkat wabak yang melanda Negara kita dan akan dapat menjalani kehidupan kita seperti biasa bersama keluarga, teman mahupun rakan sekerja, Seterusnya Yang Berhormat menyeru agar memperbanyakkan berdoa dan berharap semoga segala permohonan doa kita dan kelangsungan segala ibadat kita, baik yang umum mahupun yang khas tersebut akan dikabulkan oleh Allah Subahanhu wa Ta’ala jua.

Turut serta dalam majlis Munajat warga Kementerian Hal Ehwal Ugama secara maya tersebut ialah Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Haji Mohd. Serudin bin Haji Timbang, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai, guru-guru dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Terdahulu Majlis Munajat ini didahului dengan Sembahyang Fardhu Maghrib di rumah masing-masing.

Dengan adanya acara-acara seperti ini dan dengan amalan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wataala di harapkan agar pandemik COVID-19 dapat dibendung. Sama-samalah kita meningkatkan kewaspadaan kita dalam mencegah penularan wabak ini dan sentiasa berdoa kepada Allah Subhanahu Wata'ala semoga negara kita akan dilindungi juga bebas daripada wabak berkenaan dengan izin-Nya jua.




Attachments