بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
BERAKAS, Khamis, 16 Zulkaedah 1443H
bersamaan 16 Jun 2022M–Penerbangan kedua bakal jemaah haji
Negara Brunei Darussalam telah bertolak hari ini meninggalkan Negara Brunei
Darussalam jam 10:01 pagi tadi dengan menggunakan pesawat Royal Brunei Airlines
BI4203. Penerbangan dijangka tiba di Madinah pada jam 2.30 petang waktu
tempatan.
Penerbangan kedua membawa sejumlah 206
orang bakal jemaah haji iaitu 95 orang lelaki dan 111 orang perempuan yang
mengikuti Syarikat Darussalam Holdings Sendirian Berhad. Mengiringi bakal
jemaah haji bagi penerbangan kedua ini ialah 7 orang Pegawai Perubatan Pejabat
Urusan Jemaah Haji yang terdiri dari 3 orang lelaki dan 4 orang perempuan serta
pegawai Syarikat Darussalam Holdings Sendirian Berhad
Bagi memberkati majlis, Doa Selamat
dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustafa
bin Haji Murat dan lafaz Azan dilaungkan oleh Yang Mulia, Begawan Mudim Awang
Haji Amran bin Haji Mohd Salleh.
Hadir bagi mengucapkan selamat belayar
kepada bakal jemaah haji lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ialah
Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang
Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama
dan isteri; Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Major General (B) Dato Paduka
Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri;
dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Awang Haji Mohammad Isham bin Haji
Jaafar, Menteri Kesihatan dan isteri.

Juga hadir Yang Mulia Awang Haji
Khairuddin bin Haji Abd Hamid, Pemangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan
Menteri Kewangan dan Ekonomi ke II, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah
Darussalam Holdings Sendirian Berhad; Yang Mulia, Pengiran Dato Seri Setia Haji
Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama dan
Isteri; Tuan Yang Terutama, Emad bin Abdul Aziz Al-Muhanna, Duta Besar Istimewa
dan Mutlak Arab Saudi Ke Bandar Seri Begawan; Yang Mulia Awang Haji Mohammad
Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama dan
Isteri; Yang Mulia, Awang Haji Maswadi bin Haji Mohsin, Setiausaha Tetap,
Kementerian Kesihatan; Yang Mulia, Awang Haji Mohd. Serudin bin Haji Timbang,
Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) dan isteri, Kementerian Hal
Ehwal Ugama; Yang Mulia Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan;
Pengarah-Pengarah dan Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama serta
Pengarah Urusan Syarikat Pengendali Pakej Haji.














