Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
|
Version HistoryVersion History

MAJLIS MENDIRIKAN TIANG MASJID BARU KAMPONG BUKIT PANGGAL, DAERAH TUTONG

TUTONG, Selasa, 15 Mei 2018–Penduduk Kampong Bukit Panggal dan sekitarnya akan mempunyai sebuah bangunan masjid baru yang dijangka siap pembinaannya pada bulan Julai 2018. Masjid baru ini dibina di atas sebidang tanah yang berkeluasan 5.0 ekar menggunakan anggaran peruntukan perbelanjaan dari Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam yang berjumlah BND$3 juta.

Sehubungan itu, Majlis Mendirikan Tiang Masjid Baru Kampong Bukit Panggal diadakan pagi ini. Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei.

Turut sama hadir ialah Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Naib Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar; Ketua Hakim Syar'ie selaku Ahli Majlis Ugama Islam Brunei, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara dari Daerah Tutong iaitu Yang Berhormat Awang Haji Abdul Wahab bin Apong, Penghulu Mukim Tanjong Maya; Yang Berhormat Awang Haji Ramli bin Haji Lahit, Penghulu Mukim Telisai; dan Yang Berhormat Awang Haji Umarali bin Esung, Yang Mulia Awang Roslan bin Haji Taja‘ah; Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Awang Haji Mohd. Serudin bin Haji Timbang; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Orang Kaya Jaya Putra Dato Paduka Haji Mohd Taha bin Haji Abdul Rauf; Penghulu Mukim Keriam, dan Ahli Jawatankuasa Pengutipan dan Pengeluaran Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Awang Mohammad Fauzi bin Haji Anuar, Pegawai Hal Ehwal Masjid, dan seterusnya laungan azan oleh Awang Haji Hasmali bin Haji Talip, Imam Masjid Haji Abd. Azim, Kampong Luagan Dudok. Ini kemudian diikuti dengan zikir mendirikan tiang masjid baru secara beramai-ramai dipimpin oleh Awang Mohammad Fauzi bin Haji Anuar. Majlis diteruskan dengan menuang simen ke tapak binaan masjid baru yang didahului oleh tetamu kehormat. Seterusnya tetamu kehormat dan jemputan yang hadir diberikan taklimat ringkas mengenai reka bentuk bangunan masjid yang disampaikan oleh Yang Mulia Haji Muhazzam bin Dato Seri Paduka Haji Awang Abdul Mokti, arkitek dari Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan.

Keseluruhan kapasiti Masjid Baru Kampong Bukit Panggal boleh menampung seramai lebih kurang 600 orang jemaah. Di antara kemudahan yang disediakan di masjid ini adalah seperti Dewan Sembahyang Utama Lelaki, Ruang Sembahyang Perempuan, Bilik Kuliah, Bilik Perpustakaan & Teknologi Maklumat, Pejabat Pentadbiran, Bilik Tetamu, Pejabat Imam & Bilal, Tandas dan Tempat Berwudhu Orang Berkeperluan Khas Lelaki dan Perempuan, Bilik Pengurusan Jenazah dan lain-lain.

Attachments