Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman

Manage PermissionsManage Permissions

ACARA-ACARA KEAGAMAAN SEMPENA SAMBUTAN HARI GURU KALI KE-31 NEGARA BRUNEI DARUSSALAM BAGI TAHUN 1443H/2021M

بسم الله الرحمن الرحيم

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 13hb. Safar 1443H bersamaan 20hb. September 2021H–Bersempena Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam Ke-31 Tahun 2021, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama akan mengadakan Majlis Membaca Surah Yaasin Dan Bacaan Tahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit diselajurkan dengan  Doa Kesyukuran Sempena Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam Ke-31 Tahun 1443H/2021M dan Forum Khas An-Nur. Tema bagi Sambutan Hari Guru kali ke 31 Tahun 2021 ini ialah "Pendidikan Berkualiti Teras Kecemerlangan Pelajar”.

Mengambil kira status terkini penularan wabak COVID-19 di Negara ini dan langkah-langkah pengawalan yang masih dikuatkuasakan di seluruh Negara, Majlis ini dilaksanakan secara siaran televisyen melalui saluran RTB Perdana dan RTB Sukmaindera, dan juga di semua rangkaian radio di Radio Televisyen Brunei pada Hari Khamis (malam Jumaat), 17 Safar 1443H bersamaan 23 September 2021M bermula jam 6:30 petang.

Sementara rakaman rancangan Forum Khas An-Nur Sempena Sambutan Hari Guru Kali Ke-31 akan disiarankan pada hari yang sama Khamis (malam Jumaat), 17 Safar 1443H bersamaan 23 September 2021M, jam 9:00 malam. Tajuk Forum ialah Pendidikan Berkualiti Teras Kecemerlangan Pelajar yang mana adalah juga merupakan tema Sambutan Hari Guru Kali Ke-31 Tahun 2021. 

Ahli panel bagi Forum Khas An-Nur sempena Sambutan Hari Guru Kali ke-31 ini nanti ialah Yang Mulia Awang Hilman bin Haji Salim, Pengarah Pusat Kajian Fiqh Al-Usrah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Yang Mulia Dr Haji Rozaiman bin Makmun, Penolong Professor, SHBIE, Universiti Brunei Darussalam manakala moderator dalam forum berkenaan ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Jaya Bin Hj Metussin, Pegawai Pelajaran, Jabatan Pengajian Islam Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Acara-acara keagamaan bagi Sambutan Hari Guru Kali ke-31 Tahun 2021 masih terus diadakan bagi memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala atas segala kurniaanNya, semua rakyat di Negara ini dapat mengikuti pendidikan berpandukan Sistem Pendidikan Negara yang menekankan kepada kepentingan ilmu duniawi dan ukhrawi. Disamping itu, melalui acara ini dihasratkan dapat menzahirkan penghargaan kepada golongan guru di Negara ini atas jasa dan pengorbanan mereka mendidik pelajar sehingga menjadi rakyat yang berpengetahuan dan berpendidikan tinggi. Selain itu, acara ini akan dapat mengeratkan silaturrahim semua warga pendidik di seluruh Negara dalam apa jua keadaan yang dihadapi. 

Attachments