Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Manage PermissionsManage Permissions

Titah KDYMM Sempena Majls Sambutan Isra' Dan Mi'raj Peringkat Negara Bagi Tahun 1439H/2018M

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN ISRA' DAN MI'RAJ
PERINGKAT NEGARA BAGI TAHUN 1439H / 2018M

PADA
HARI SABTU
27HB. REJAB 1439 / 14HB APRIL 2018

BERTEMPAT
DI DEWAN PLENARY,
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Kita wajib bersyukur di atas nikmat yang telah dan sedang kita kecapi di negara ini. Diantara nikmat keamanan dan perpaduan, sehingga kerananya dapatlah kita memperingati peristiwa Isra' dan Mi'raj pada pagi ini dengan penuh selesa.

Antara peristiwa yang berlaku di sekitar Isra' dan Mi'raj ialah persinggahan Nabi Shallallahu 'Alaihi Wassallam di Masjid Al-Aqsa di Palestin, dengan Baginda itu menjadi imam dalam sembahyang jema'ah bersama para nabi yang lain. Peristiwa ini tidak syak lagi, merujuk kepada betapa pentingnya sembahyang jema'ah itu kepada kita umat Islam.

Di Negara Brunei Darussalam, bagi kemudahan umat Islam melakukan sembahyang jema'ah, maka banyaklah masjid yang dibina dan akan terus dibina sesuai dengan keperluan.

Kita juga menubuhkan Tabung Dana Masjid untuk memberi peluang kepada orang ramai bagi sama-sama menyumbang kepada pembangunan dan pemuliharaan masjid, sambil untuk lebih mengeratkan lagi hubungan antara jema'ah dengan masjid.

Pembinaan masjid dan pemuliharaannya adalah sangat penting, supaya masjid sentiasa tersergam, selamat dan selesa untuk para jema'ah beribadat dan memelihara akidah.

Amali atau praktikal sembahyang jema'ah telah diajarkan di sekolah-sekolah ugama di negara ini. Perkara ini dianggap perlu, bukan hanya setakat untuk menjadikan para pelajar tahu apa itu sembahyang jema'ah tetapi juga supaya mereka suka dan istiqamah melakukannya.

Di sekolah-sekolah Arab dan sekolah ugama memang diadakan sembahyang berjema'ah, samada di surau-surau atau di masjid yang berdekatan. Perkara ini sangat bagus diteruskan, bukan hanya bagi pelajar tetapi juga para ibubapa dan penjaga yang ingin sembahyang berjema'ah.

Beta melihat cara ini cukup baik, kerana itu selain ia dilakukan di sekolah-sekolah Arab dan Ugama, ia juga patut dikembangkan ke sekolah-sekolah di bawah kendalian Kementerian Pendidikan. Untuk ini, mereka boleh saja menggunakan surau atau mana-mana jua ruang yang bersesuaian.

Tujuan masjid ialah untuk dimakmurkan atau diramaikan oleh para jema'ah. Maka oleh itu, kita adalah dituntut untuk menjadikan setiap masjid 'mesra jema'ah'.

Diantara ciri-ciri mesra jema'ah itu ialah menjadikan masjid dan persekitarannya sentiasa bersih dan menarik, disamping tidak diabaikan juga ialah mengisinya dengan kegiatan-kegiatan yang berkebajikan, seperti dengan ceramah-ceramah ugama, dengan membaca kitab secara berhalaqah dan lain-lain. Ini semua adalah cukup berkesan untuk meramaikan masjid.

Inilah diantara tugas dan tanggungjawab Jabatan Masjid, dengan dibantu oleh Jawatankuasa Takmir Masjid. Laksanakanlah tugas dan tanggungjawab ini dengan sebaik-baiknya, nescaya kita akan mendapati hasilnya yang baik dengan izin Allah.

Baiki dan pertingkatkan mana-mana yang berkaitan dengan masjid, seperti pegawai-pegawainya, dan termasuk juga penyediaan, khasnya penyampaian khutbah-khutbah oleh para khatib pada hari Juma'at. Khutbah dan penyampaiannya dalah 'nadi' bagi ugama. Jika khutbah dan penyampaiannya lemah, maka lemahlah nadi itu.

Bersempena dengan sambutan Isra' dan Mi'raj ini, adalah wajar bagi kita meningkatkan azam supaya rajin ke masjid dan surau bagi merebut pahala sembahyang jema'ah. Andainya kita tidak mampu untuk melakukannya pada setiap waktu di masjid, maka sekurang-kurangnya kita perlu beriltizam untuk sembahyang jema'ah itu bersama-sama keluarga di rumah. Dengan peningkatan sembahyang jema'ah itu, Insya Allah, keluarga, sekolah  dan anak-anak kita akan mendapat berkat, dan malah negara kita, Brunei Darussalam juga akan beroleh berkat yang sama.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Attachments