Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Manage PermissionsManage Permissions

Titah KDYMM Sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Baginda Yang Ke-72 Tahun

‚ÄčTITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.

SEMPENA
HARI ULANG TAHUN KEPUTERAAN BAGINDA YANG
KE-72 TAHUN

PADA HARI AHAD
2HB ZULKAEDAH 1439
15HB JULAI 2018

BERTEMPAT
BALAI SINGGAHSANA INDERA BUANA,
DI ISTANA NURUL IMAN,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin-Nya jua dapatlah kita meraikan Hari Keputeraan Beta, dalam keadaan aman lagi penuh selesa.

Beta terlebih dahulu, sukacita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada para 'tetamu khas' Beta, yang sudi hadir keisti'adat ini, dan juga kepada semua pihak yang telah menyembahkan perutusan ucap selamat kepada Beta dan keluarga, bersempena dengan perayaan ini.

Perkara-perkara utama yang menjadi agenda global pada masa ini, ialah penjanaan ekonomi serta langkah merealisasikan keamanan. Dua-dua ini dianggap sebagai sangat perlu untuk ditangani.

Dalam perkara ekonomi, Brunei Darussalam juga tidak ketinggalan menjana ekonominya. Ini, adalah memang menjadi kewajipan kita semua, terutama agensi yang berkenaan dan bahkan semua agensi di dalam kerajaan.

Pertumbuhan ekonomi kita bagi jangka pendek dan sederhana adalah diramalkan akan lebih rancak. Namun ini, tidaklah boleh untuk menjadikan kita leka atau berpuas hati begitu saja. Kerana ekonomi adalah elemen yang tidak pernah berhenti dari mencipta cabaran.

Telah sedia dimaklumi, bahawa sektor minyak dan gas adalah penyumbang utama ekonomi kita. Namun tidaklah bijak untuk semata-mata bergantung kepada sektor ini sahaja. Kerana ekonomi itu sifatnya adalah dinamik, mampu untuk tumbuh dengan lebih pelbagai lagi.

Salah satu langkah ke arah pertumbuhan ekonomi, ialah dengan meneroka sektor pertanian. Sektor pertanian sangat penting untuk kehidupan. Pertanian memainkan peranan utama dalam pembinaan tamadun.

Apabila pertanian meningkat, hasil dari teknologi baru, maka ia dianggap sebagai revolusi pertanian sudah berlaku. Ini, secara ketara, telah membawa hasil pertanian itu bertambah pada awal abad ke-20.

Bagi negara yang menerima hujan dan tanah-tanah masih belum diteroka, maka tidaklah praktikal untuk terus mengimport bahan asas makanan tanpa berusaha sendiri memenuhi keperluan.

Oleh itu Beta tanpa jemu-jemu, mengajak semua pihak, terutama agensi kerajaan yang berkenaan untuk tidak berlengah-lengah lagi menunaikan kewajipan ini.

Kuatkanlah azam dan teguhkan pendirian untuk mencapai sasaran yang diperlukan. Kita bina niat untuk menyara diri dengan keringat sendiri.

Di samping pertanian, negara juga sedang memperkasa sektor perusahaan, yang meliputi Perusahaan-Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana. Beberapa inisiatif telah pun dilaksanakan melalui Kementerian Kewangan, seperti mengadakan program-program latihan keusahawanan dan mengadakan bengkel-bengkel yang berkaitan dengan penyimpanan rekod perniagaan serta pengetahuan  asas perakaunan dan lain-lain.

Ini kita anggap penting, untuk memudahkan pengusaha-pengusaha kita mengembangmajukan perusahaan-perusahaan mereka.

Seterusnya menyahut cabaran ekonomi, Kerajaan beta juga sedang meneliti untuk meningkatkan infrastruktur telekomunikasi yang dipercayai dapat memudahkan perniagaan, cost of doing business  dan sekali gus meningkatkan produktiviti.

Sambil kita membangun ekonomi, kita juga membangun negeri. Ada ungkapan berbunyi : "Membangun Bandar Mesra Alam". Tetapi kita mengungkap : "Membangun Negeri Mesra Alam". Dalam makna, kita bukan sahaja mahu bandar kita bersih, tetapi seluruh Bumi Brunei Darussalam ini hendaknya bersih.

Beta sangat teruja untuk melihat, semua persekitaran kita adalah mesra alam.

Ini adalah asas kebanggaan kita bersama, maka jelmakanlah ia.

Persekitaran yang mesra alam bukan sahaja kelihatan indah, malah juga menjanjikan kesejahteraan. Bukankah kotoran itu bersinonim dengan pencemaran?

Pencemaran  pula, tidak diragukan lagi, adalah agen mengundang penyakit. Kita ambil contoh, pencemaran udara disebabkan asap rokok, bukanlah asap rokok itu mengandungi bahan-bahan kimia beracun?

Menurut pakar, bahan-bahan ini boleh menjejaskan fungsi jantung dan struktur saluran darah, dimana akibatnya boleh menyekat atau menyumbat saluran darah. Maka risikonya ialah tekanan darah tinggi, serangan jantung dan kerosakan pada organ-organ lain di dalam tubuh badan.

Inilah rasional, makanya kita mahu supaya Brunei Darussalam ini bebas daripada segala macam pencemaran, termasuk pencemaran oleh rokok.

Brunei Darussalam, di samping memelihara dan memperelok fizikal, ia juga tidak mengabaikan elemen dalaman, iaitu 'rohani'.

Maka ke arah ini, Kerajaan Beta tidak pernah memandang ringan terhadap pendidikan. Pendidikan adalah nadi kehidupan. Ia berfungsi untuk membentuk manusia. Demikian itu peranan pendidikan.

Kerana itu Beta mahu, supaya sistem pendidikan kita tidak sifar Ugama. Ugama mesti jadi paksinya.

Kenalilah ugama kita baik-baik supaya subur cinta terhadapnya. Cara mengenali itu tentu saja dengan belajar, terutama mempelajari sejarahnya.

Maka sehubungan ini, Beta ingin menekankan disini, supaya semua pihak yang berkenaan dengan pendidikan, hendaklah menjadikan subjek "sejarah Islam", sebagai wajib diajar di sekolah-sekolah dan pusat-pusat pengajian di bawah Kementerian-Kementerian berkenaan dan swasta.

Di peringkat antarabangsa, Negara Brunei Darussalam akan terus mengamalkan dasar berbaik-baik dan hormat menghormati dengan negara-negara luar. Kerjasama yang sedia terjalin melalui keahlian dalam pertubuhan-pertubuhan serantau dan antarabangsa, juga akan terus diperkukuhkan.

Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk, warga Perkhidmatan Awam, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, termasuk mereka yang bertugas di luar negara diatas sumbangan dan sokongan mereka kepada Kerajaan Beta.

Penghargaan yang setinggi-tingginya juga disampaikan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Perayaan di kedua-dua peringkat, Kebangsaan dan daerah, atas segala usaha dan khidmat mereka untuk menjayakan Perayaan ini.

Semoga Allah memberkati kita semua dan negara. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Attachments