Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Manage PermissionsManage Permissions

Titah KDYMM Sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke-73 tahun

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
HARI ULANG TAHUN
KEPUTERAAN BAGINDA YANG KE-73 TAHUN

PADA:
HARI ISNIN, 
12 ZULKAEDAH 1440 / 15 JULAI 2019

TEMPAT: 
BALAI SINGGAHSANA INDERA BUANA
ISTANA NURUL IMAN
BANDAR SERI BEGAWAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izinNya jua, dapatlah kita berkumpul bagi sama-sama meraikan Hari Keputeraan Beta pada tahun ini dalam keadaan aman dan sejahtera. 

Beta dengan tulus ikhlas, terlebih dahulu merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada para tetamu khas Beta yang sudi hadir ke istiadat ini, dan juga kepada semua pihak yang telah menyembahkan perutusan ucap selamat kepada Beta dan keluarga, bersempena dengan perayaan ini. 

Semua negara tidak terkecuali Brunei, berada dalam zaman yang serba mencabar. Cabaran itu pula adalah pelbagai, perlu dihadapi dengan cara masing-masing. 

Cabaran dalaman bagi negara kita ialah mempastikan bahawa, kesejahteraan hidup rakyat dan penduduk dapat diwujudkan melalui pelbagai rancangan, seperti rancangan memberikan perkhidmatan yang baik, penyediaan prasarana, yang merangkumi banyak bidang, seperti kesihatan, pendidikan, perundangan, pembangunan, perhubungan dan lain-lain. Semua ini dihasratkan untuk menjamin kehidupan yang berkualiti. 

Kehidupan berkualiti adalah merupakan hak bagi rakyat untuk menikmatinya. Baru-baru ini, Brunei telah menyertai penilaian atau review di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai dengan usaha negara dalam melindungi hak asasi manusia. Dalam perkara ini, kebanyakan Negara Ahli telah memberikan ulasan dan cadangan yang positif terhadap usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh negara kita. 

Ini tidak syak lagi, adalah satu pengiktirafan besar, dimana masyarakat antarabangsa menyambut baik usaha-usaha yang telah kita laksanakan, antaranya dalam membasmi kemiskinan dan penyakit, memberikan pendidikan yang berkualiti, menyediakan bekalan air bersih dan selamat untuk diminum, menyediakan tempat tinggal yang selesa, serta mengukuhkan sistem perundangan yang adil dimana perlindungan hak bagi institusi keluarga, wanita, kanak-kanak, belia, warga emas dan orang kelainan upaya sangat dititikberatkan. 

Seiring itu, peluang-peluang perekonomian juga terus direbut, antaranya menjana potensi yang terdapat pada industri kreatif. Industri ini akan dikembangluaskan untuk meraih manfaat berganda, bukan setakat memperkukuh warisan seni budaya, bahkan juga mampu untuk mempelbagaikan bidang ekonomi. 

Potensi ekonomi digital juga perlu diteroka. Lalu ke arah ini, Beta telahpun memperkenankan penubuhan Majlis Ekonomi Digital. Beta difahamkan, satu Plan Induk Ekonomi Digital sedang diungkayahkan, bagi tujuan, untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah negara Smart Nation. 

Disamping langkah-langkah khusus memperbaiki ekonomi, usaha-usaha pembaikan dan penjagaan kebajikan rakyat juga sedang rancak dilaksanakan, seperti, Kerajaan akan memperkenalkan satu sistem pusat pangkalan data yang lengkap. Pusat ini akan mengumpulkan semua agensi yang terlibat menyalurkan bantuan kebajikan. Melalui sistem ini, penyaluran bantuan akan lebih menepati sasaran untuk mereka yang benar-benar memerlukan. 

Usaha juga dibuat untuk mengurangkan pergantungan kepada bantuan, melalui program memperkasa penerima bantuan supaya mampu berdikari dan seterusnya keluar daripada kitaran golongan yang memerlukan bantuan. 

Beta teruja dan gembira mengetahui, bahawa taraf hidup di Negara ini adalah meningkat. Menurut Laporan Kajian Perbelanjaan Keluarga Tahun 2015/2016, pendapatan keluarga telah meningkat secara purata sebanyak 4.3 peratus setahun, dalam tempoh lima tahun kebelakangan. Kenaikan juga direkodkan bagi nilai pendapatan bulanan per kapita iaitu sebanyak 26.4 peratus. Faktor penyumbang kepada kenaikan ini termasuklah kenaikan nilai pendapatan sendiri atau self-employment income dari aktiviti-aktiviti perniagaan. 

Walaupun begitu, kita perlu mengakui bahawa masih banyak lagi ruang untuk pembaikan dilakukan. Misalnya, perlaksanaan program-program di bawah Rancangan Kemajuan Negara di semua sekotor, masih perlu dipertingkatkan. Demikian juga Negara memerlukan perlaksanaan undang-undang dan peraturan serta urus tadbir yang cemerlang, terutama berkaitan dengan pengurusan kewangan. 

Agensi-agensi Kerajaan juga dibebankan untuk meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan, selaras dengan harapan orang ramai untuk mendapatkan perkhidmatan yang baik. Sementara Warga Perkhidmatan Awam pula mestilah bersedia untuk memainkan peranan yang berkesan selaku pemudahcara atau fasilitator, bukan hanya sebagai pengawalselia atau regulator. 

Di peringkat antarabangsa, Negara Brunei Darussalam akan terus mengamalkan dasar hormat menghormati sesama negara tanpa mengira apa jua ideologi. Yang penting, dasar ini memandu kita untuk tidak mencampuri urusan dan kepentingan mana-mana pihak, selaras dengan konsep memelihara dan menghormati kedaulatan masing-masing. Brunei juga akan terus komited, tidak akan menarik diri dari bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk menangani cabaran-cabaran semasa yang utama, seperti isu perubahan iklim, pencemaran alam sekitar, ancaman keganasan dan ekstremisme. 

Brunei amat berbangga, menjadi sebuah negara ‘mesra alam’ yang tidak pernah mencampuri urusan sesiapapun, sebaliknya hanya konsisten untuk menjalani kehidupan berugama dan beradat resam yang terpuji. Brunei tidak pernah mengabaikan privasi sesiapa jua, kecuali jika nilai-nilai murni tidak dihormati atau diceroboh.

Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk, warga Perkhidmatan Awam, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, termasuk mereka yang bertugas di luar negara di atas sumbangan dan sokongan mereka kepada Kerajaan Beta. 

Penghargaan juga disampaikan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Perayaan di kedua-dua peringkat, Kebangsaan dan daerah, atas segala khidmat usaha untuk menjayakan Perayaan ini. 

Beta berdo’a semoga kita semua serta Negara Brunei Darussalam akan sentiasa kekal aman dan makmur, dikurniakan oleh Allah, rahmat dan perlindungan yang berkekalan. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Attachments