Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Manage PermissionsManage Permissions

Titah KDYMM Sempena Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Bagi Tahun 2020

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MAJLIS PERTANDINGAN MEMBACA AL-QUR’AN
BAHAGIAN DEWASA PERINGKAT AKHIR KEBANGSAAN
BAGI TAHUN 2020

PADA 
HARI KHAMIS (MALAM JUMAAT)
06HB. JAMADILAKHIR 1441
30HB JANUARI 2020

TEMPAT:
DEWAN PLENARY, 
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM



Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan ‘inayah-Nya jua dapatlah kita bersama-sama berkumpul dalam majlis yang berkat ini, untuk mendengarkan ayat-ayat Allah berkumandang di dalamnya. 

Musabaqah membaca Al-Qur’an di negara ini sudah memasuki kali ke-62 ia diadakan. Ertinya sudah lebih 60 tahun musabaqah ini berlangsung. Jangka masa yang sepanjang itu sudah tentu menjadi ingatan manis kepada siapa jua yang pernah menyaksikannya. Begitu juga bagi peserta musabaqah sendiri dan ahli-ahli jawatankuasa yang mengendalikannya. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberikan ganjaran pahala kepada semua mereka yang terlibat itu. 

Beta sangat tertarik dengan tema majlis pada kali ini, iaitu “Menjana Keberkatan Rezki Dengan Al-Qur’an”

Berkat secara umum, boleh diertikan sebagai kurnia berupa rahmat daripada Allah. Sementara istilah rezki pula mempunyai maksud pelbagai. Ia boleh berupa harta, kesihatan, ilmu pengetahuan, ketenteraman dalam keluarga dan seumpamanya. 

Dengan banyak-banyak membaca Al-Qur’an boleh mengundang berkat, sedang berkat pula bererti ‘lebih’ atau melempah-lempah dan diantara yang lebih atau melempah itu boleh saja berupa rezki. 

Antaranya rezki, berpunca dari keberkatan sedekah, keberkatan istighfar, keberkatan usaha dan seumpamanya. 

Ini semua, dirumus sebagai amal takwa, sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam Surah At-Talaq ayat 2 hingga 3, tafsirnya:

“Barang siapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia (Allah) akan menyediakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezki dari sumber yang tidak disangka-sangkanya”.

Sehubungan itu, telah mendorong Beta untuk tidak jemu-jemu menasihat, supaya semua lapisan masyarakat di negara ini melazimkan diri membaca Al-Qur’an, dalam makna, kita dituntut supaya sama-sama menghiasi rumah-rumah kita dengan cahaya Al-Qur’an. Biarlah Al-Qur’an itu terus menyinar dan memberkati segala aktiviti kita. 

Di samping membaca, memahami ayat-ayat Al-Qur’an juga adalah menjadi keutamaan. Lalu kerana itu, kita pun mengambil langkah mengusahakan penyusunan Mushaf Brunei Darussalam dan Tafsirannya. Dan kini penyusunan itu sedang diusahakan. 

Mengenai bidang pelajaran Al-Qur’an, Beta mahu semua Institusi Pendidikan di negara ini hendaklah mengambil perhatian berat, khasnya Institusi Pendidikan Ugama adalah tidak wajar untuk bersikap lebih kurang atau menganggapnya sebagai kurang penting, sehingga periode untuk mata pelajaran Al-Qur’an itu dibiarkan kurang, berbanding mata-mata pelajaran lain. 

Terutama bagi Institusi Perguruan Ugama, adalah tidak munasabah untuk mengurangkan periode Al-Qur’an, kerana selaku pegawai atau guru ugama nanti, mereka itu dikehendaki mesti mahir dan mengusai semua aspek, mengenai Al-Qur’an. Jadi cuba bayangkan, jika mata pelajaran Al-Qur’an diabaikan ketika  di dalam pengajian?

Beta berharap perkara ini diambil perhatian sewajarnya. 

Akhirnya, Beta sukacita mengucapkan penghargaan kepada semua peserta musabaqah pada kali ini. Kalah atau menang bukanlah matlamat utama, tetapi keikhlasan mengharapkan pahala daripada Allah, itulah yang menjadi keutamaan. Kepada para qari dan qariah yang berjaya menjadi juara, kita berdoa, semoga Allah memberkati kejayaan mereka.Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Attachments