Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Manage PermissionsManage Permissions

Titah KDYMM Sempena Hari Raya 'Idil Adha Tahun 1442H/2021M

‚Äč

Titah

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni
Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam

 Sempena
Hari Raya 'Idil Adha
Tahun 1442H/2021M


Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Walillahil Hamd.

Dengan memasuki gerbang 'Idil Adha, kita wajar bersyukur kerana dapat memeriahkan masjid, balai ibadat dan surau serta rumah malah negara, dengan takbir dan tahmid memuji Allah.

Ini, akan kita lakukan, sebaik-baik sahaja menjelang 10 Zulhijjah dan akan berterusan sehingga ke penghujung hari tasyriq.

Takbir dan tahmid adalah kalimat agung, yang cuma layak diucapkan untuk Allah Subhanahu Wata'ala semata-mata, dimana pengucapnya pula akan dikurniakan dengan ganjaran pahala.

Apabila takbir dan tahmid diucapkan dengan penuh keimanan, maka manisnya pasti sampai ke dalam hati dan sanubari.

Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Walillahil Hamd.

Tidak diragukan lagi, dengan mendengar takbir, jiwa kita akan bertambah teguh. Maka oleh itu, dalam keadaan sekarang, takbir dan tahmid serta lain-lain zikir adalah mustahak untuk dijadikan pakaian, supaya jiwa kita tetap tabah dan sabar menghadapi apa jua keadaan dan ujian.

Diantara ujian yang masih menekan dunia, ialah ketakutan kepada wabak koronavirus, dan ditambah lagi akhir-akhir ini muncul pula varian baru yang menurut pakar lebih pantas merebak dan mudah menular.

Oleh itu, belumlah sampai masanya untuk kita berlonggar-longgar dengan situasi hari ini. Tetapi masih sahaja perlu untuk terus berhati-hati, dengan mematuhi protokol kesihatan disamping konsisten mengamalkan vaksin ketuhanan, selaku perisai diri.

Dari pengamatan dan pengalaman, penggunaan vaksin ketuhanan sangatlah memberangsangkan, dengan Brunei, sudah lebih setahun mengalami keajaiban: Sifar dari jangkitan tempatan.

Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Walillahil Hamd.

Beta menaruh keyakinan, bahawa apa yang berlaku kepada Brunei Darussalam adalah berpunca dari keberkatan mendekati Allah. Apa sahaja masalah atau musibah, kita tetap akan merujuknya kepada Allah, melalui do'a dan zikir memohonkan kelepasan.

Inilah makanya, rahmat pun turun kepada Brunei, menjadikannya sebuah negara yang selamat.

Khusus di zaman pancaroba ini, amalan-amalan berugama sangatlah diperlukan. Namun bukan semua orang nampak pendekatan ini. Bagi mereka yang nampak akan beruntung, sementara yang tidak nampak akan kekal dalam kerugian.

Kita di Brunei tidak mahu berada dalam kerugian. Kerana itulah, dalam menghadapi wabak, kita dari awal-awal lagi sudah membiasakan diri dengan zikir dan do'a.

Membiasakan diri dengan vaksin ketuhanan ini, adalah ia tuntutan ugama. Ia perlu dibuat dengan yakin dan sabar.

Mengapa dengan yakin dan sabar? Kerana kalau tidak yakin dan sabar, orang tidak akan melakukannya, walaupun zikir dan do'a itu perkara mudah.

Tetapi alhamdulillah, Brunei kita adalah "Brunei yang benar-benar yakin dan sabar", kerana itulah sampai sekarang kita masih belum berhenti dari berzikir dan berdo'a.

Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Walillahil Hamd.

Yakin dan sabar itu adalah pakaian nabi-nabi dan orang-orang salih. Lalu, kerana yakin dan sabarlah, Nabi Ibrahim 'Alaihissalam sanggup melaksanakan perintah Allah untuk menyembelih putera baginda, Nabi Ismail. Ini adalah tahap tertinggi contoh orang yakin dan sabar ketika berhadapan dengan ujian.

Akhirnya, Beta dan keluarga Beta, ingin mengambil peluang di sini, untuk mengucapkan Selamat Hari Raya 'Idil Adha kepada semua lapisan rakyat dan penduduk yang berugama Islam. Semoga sekalian kita akan terus berada dalam perlindungan dan pemeliharaan Allah Subhanahu Wata'ala. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


 

Attachments