Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

Manage PermissionsManage Permissions

MENGUNAKAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DENGAN BIJAKSANA

Muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Agama kita adalah agama yang mementingkan ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan adalah pelita kehidupan. Ilmu ibarat cahaya yang menerangi kegelapan. Oleh itu, agama kita mengelakkan umatnya supaya sentiasa berusaha mencari atau menimba ilmu sebanyak-banyaknya dan menuntut ilmu itu adalah satu kewajipan kepada semua umat Islam sama ada lelaki atau perempuan. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda dalam sebuah hadis:

عن أنس ابن مالك قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: طلب العلم فريضه فريضة على كل مسلم {رواه الإمام ابن ماجه}

Maksudnya:

Daripada Anas bin Malik ia berkata: Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam: Menuntut ilmu adalah satu kefardhuan ke atas setiap muslim.

Dari hadis tersebut jelas bahawa ilmu itu sangat penting kerana dengan ilmu pengetahuan seseorang itu boleh maju, membangun dan berjaya, bukan sahaja untuk dirinya tetapi juga untuk ugama, bangsa dan negara. Terdapat banyak cara untuk mendapatkan ilmu pengetahuan seperti melalui berguru, bacaan buku-buku, mahupun melalui media masa yang lain.

Pada zaman ini ilmu pengetahuan banyak diperolehi melalui media baharu iaitu melalui internet dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Ia merupakan teknologi yang telah banyak merubah cara hidup manusia. Teknologi maklumat komunikasi pada dasarnya adalah untuk memudahkan sesuatu. Jika digunakan dengan niat yang betul maka akan membawa manfaat dan kesejahteraan hidup, tetapi jika disalahgunakan maka ia akan membawa kepada perkara yang sia-sia dan merugikan. Oleh itu, kita hendaklah celik dan peka terhadap pengunaannya kerana kemudahan tersebut menawarkan maklumat dan ilmu yang sangat banyak, mudah dan cepat.

Pada masa kini ramai orang mengunakan internet dan teknologi maklumat komunikasi sama ada melalui komputer atau telefon bimbit sebagai alat untuk berhubung kerana ia merupakan cara terpantas untuk berhubung menyebarkan perkongsian berita, maklumat ataupun ilmu.

Walaubagaimanapun setengah orang mudah terlupa akan satu hakikat yang sangat penting dan perlu diambil perhatian iaitu tidak semua berita, maklumat ataupun ilmu yang tular atau tersebar itu benar dan tepat. Ingatlah, kita hendaklah bertanggungjawab atas setiap berita yang hendak kita sampaikan atau sebarkan dengan mempastikan bahawa berita itu adalah benar dan sahih, agar tidak mendatangkan pendustaan, pembohongan dan pertelingkahan, kerana ia boleh membawa kepada berlakunya kekacauan dan permusuhan dalam kalangan masyakat dan negara.

Memang tidak dapat dinafikan terdapat juga sebilangan pengguna yang menjadikan teknologi maklumat komunikasi sebagai tempat atau saluran untuk meluahkan perasaan tidak puas hati, tempat untuk mengata, mengaibkan orang lain dan sebagainya. Oleh itu, sebagai penguna yang bijak kita hendaklah mengunakannya dengan cara terkawal, antaranya jangan mengunakannya untuk merendahkan diri dan mencaci maki orang lain, tidak mengunakannya untuk mendedahkan keinginan seseorang atau menyebarkan keburukan orang lain, menjaga tutur kata agar tidak mendatangkan kemarahan orang lain, janganlah mengintip dengan niat jahat mencari kesalahan orang lain dan jauhilah dari berperasangka buruk terhadap berita atau maklumat yang diterima kerana ia boleh mendatangkan dosa dan maksiat, firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Hujurat ayat 6:

 أعوذ بالله من الشيطان الرجيم    

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٍ۬ فَتَبَيَّنُوٓاْ أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَـٰلَةٍ۬ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَـٰدِمِينَ

صدق الله العظيم

“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya kerana dikhuatiri kamu akan menimpakan kepada suatu kaum (perkara yang tidak diingini) dengan sebab kejahilan kamu sehingga menyebabkan kamu menjadi orang yang menyesal atas apa yang kamu telah lakukan”

Tidak dinafikan teknologi maklumat komunikasi mempunyai banyak kelebihannya sebab itulah pada setiap tahun diadakan Sambutan Hari Telekominikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia, tujuan utama Sambutan dan Teknologi Maklumat Komunikasi (ICT) bagi manfaat masyarakat dan juga ekonomi di samping ia juga digunakan untuk membantu orang ramai dalam memperkaya kehidupan melalui pembaikan dalam penyediaan perkhidmatan kesihatan, pembelajaran, kewangan, pertanian, pengangkutan dan berbagai perkhidmatan lain.

Akhirnya, dalam  pengunaan teknologi maklumat komunikasi, kita sebagai penguna hendaklah bertanggungjawab mengunakannya dengan bijaksanan dan dalam perkara yang bermanfaat dan bukan pada perkara yang sia-sia. Elakkanlah daripada terjerumus ke dalam lembah dosa dan maksiat termasuk melimparkan tuduhan, menyebarkan fitnah, prasangka buruk serta bercakap bohong. Ingatlah bahawa setiap apa yang disebarkan dan diberitakan pastinya akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala akan sentiasa melindungi dan menyelamatkan kita, keluarga, bangsa dan negara daripada segala perkara-perkara yang keji dan munkar, amin ya rabbal alamin.

Surah Al-Hujurat ayat 12:

 أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱجۡتَنِبُواْ كَثِيرً۬ا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعۡضَ ٱلظَّنِّ إِثۡمٌ۬‌ۖ وَلَا تَجَسَّسُواْ وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًا‌ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُڪُمۡ أَن يَأۡڪُلَ لَحۡمَ أَخِيهِ مَيۡتً۬ا فَكَرِهۡتُمُوهُ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌ۬ رَّحِيمٌ۬

صدق الله العظيم

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa. Dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu berasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Pengasih”


Mengunakan Teknologi Maklumat Dengan Bijaksana.pdf

Wise Use Of Communication Information Technology.pdf

Attachments