Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

Manage PermissionsManage Permissions

MENGHIASI DIRI DENGAN SIFAT MALU

Muslimin yang dirahmati Allah,

BERTAQWALAH kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala dan melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Ahzab ayat 21:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٌ۬ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأَخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرً۬ا

صدق الله العظيم

“Demi sesungguhnya pada diri Rasulullah itu ada contoh yang baik bagi kamu, iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kebahagiaan) hari akhirat serta banyak berzikir mengingati Allah.”

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam adalah contoh teladan dan ikutan yang terbaik bagi seluruh umat manusia. Oleh itu, sebagai umat Islam kita hendaklah mengikuti dan mencontohi sifat-sifat dan akhlak baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam.

Adapun antara akhlak dan sifat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam yang mesti dan patut kita contohi ialah sifat malu. Imam At-Termizi Rahmatullah Taala berkata bahawa Malu adalah perhiasan mukmin sejati. Ia merupakan akhlak para nabi dan para rasul yang harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku umat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassallam.

Sesunggunya sifat malu adalah sifat yang mengajar kita untuk sentiasa menghiasi diri dengan sifat-sifat yang mulia dan terpuji. Ini kerana sifat malu dapat mencegah dan menjauhkan kita daripada melakukan sebarang bentuk perbuatan dosa, berkelakuan buruk, hina dan tercela. Selain itu, perasaan malu juga akan membuatkan seseorang itu untuk lebih berhati-hati dalam setiap gerak-geri dan tingkah laku sama ada dari segi perkataan mahupun perbuatan. Daripada Anas bin Malik Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Tidaklah sifat buruk berada dalam sesuatu (pada seseorang) melainkan akan memburukkannya, dan tidaklah sifat malu ada dalam sesuatu (pada seseorang) kecuali ia akan menghiasinya.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Imam Muslim Rahmatullah Taala meriwayatkan, daripada Abdullah bin Umar bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Malu itu adalah sebahagian daripada Iman. Ini menunjukkan bahawa sifat malu merupakan perhiasan sejati seorang muslim kerana orang yang tidak mempunyai rasa malu itu bererti imannya cacat. Oleh itu, tanamkan dalam diri kita dan suburkanlah rasa malu, kerana ia merupakan sifat-sifat para nabi dan para rasul.

Oleh itu, beruntunglah mereka yang dapat menghiasi dirinya dengan sifat malu kerana sifat malu itu adalah sebahagian daripada iman dan iman itu pula tempatnya di syurga. Manakala sifat tidak malu itu pula merupakan perangai yang buruk dan tempatnya adalah di neraka. Daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Rasa malu adalah sebahagian daripada keimanan dan keimanan berada di syurga. Sedangkan tindakan kotor adalah sebahagian dari perangai yang kasar dan perangai kasar tempatnya di neraka.

Sesungguhnya sifat malu itu terbahagi kepada dua jenis, iaitu:

Pertama: Malu yang tercela iaitu malu bukan pada tempatnya seperti malu untuk bertanya mengenai sesuatu ilmu yang tidak diketahui.

Kedua: Malu yang terpuji iaitu meletakkan malu pada tempatnya seperti malu kepada Allah Subhanahu Wata'ala, malu melakukan dosa dan sebagainya.

Menurut Mawadi dalam kitab “Adab Dunia Waddin” beliau membahagikan malu yang terpuji itu kepada tiga, iaitu:

Pertama: Malu kepada Allah Subhanahu Wata'ala iaitu dengan menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang ditegah dan dilarang oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Terdapat beberapa cara yang dapat dilakukan untuk menanamkan perasaan malu kepada Allah Subhanahu Wata'ala, antaranya seperti menjaga anggota badan dan panca indera kita daripada melakukan maksiat, sentiasa ingat kepada kematian, sentiasa menyedari akan segala kelemahan, dosa atau maksiat yang pernah dilakukan.

Ketahuilah, apabila kita menyedari dan menginsafi akan segala dosa, kelemahan dan kekurangan diri sendiri, maka sudah setentunya kita akan berasa malu dan segan untuk mengingkari suruhan dan perintah Allah Subhanahu Wata'ala. Daripada Abdullah bin Mas’ud Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Malulah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar malu. Abdullah bin Mas’ud mengatakan bahawa para sahabat menjawab, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami memang malu (kepada Allah), Alhamdulillah, balas baginda, bukan begitu, tetapi malulah kepada Allah dengan sebenar-benar malu, maka jagalah kepala dan kandungannya (seperti telinga, mulut dan mata), jagalah perut dan semua yang berhubungan dengannya (seperti kemaluan, tangan, kaki dan hati), serta ingatlah kematian dan kehancuran (di dalam kubur) sesiapa yang melakukan semua ini, dia telah malu kepada Allah dengan sebenar-benar malu. (Hadis Riwayat Imam Tarmizi)

Kedua: Malu kepada manusia  iaitu menahan diri daripada menganggu dan menyakiti orang lain dengan meninggalkan perbuatan-perbuatan buruk yang tidak sepatutnya dilakukan terhadap orang lain seperti menaniaya atau menzalimi orang, menyebarkan fitnah, mengadu domba, menjadi batu api dan seumpamanya.

Ketiga: Malu kepada diri sendiri iaitu sentiasa menjaga kehormatan diri dan menjaga diri daripada sifat-sifat tercela seperti berasa malu untuk menilai keinginan dan keburukan orang lain sedangkan diri sendiri juga banyak dosa dan kesalahan.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Adapun antara tanda-tanda kurangnya perasaan malu itu ialah apabila seseorang itu secara terang-terang melakukan kesalahan, kemungkaran dan maksiat. Daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Setiap umatku dimaafkan kecuali orang yang terang-terangan dalam bermaksiat (kerana hilang sifat malu). Iaitu seseorang yang telah berbuat dosa di malam hari lintas di pagi harinya ia berkata bahawa ia telah berbuat dosa ini dan itu padahal Allah telah menutupi dosanya. Pada malam harinya, Allah telah menutupi aibnya, namun di pagi harinya ia membuka sendiri aib yang telah Allah tutupi.

Selain itu, antara-antara kurangnya rasa malu juga ialah Pertama: Orang yang melafazkan perkataan-perkataan atau kata-kata yang menyakiti perasaan dan hati orang lain dengan sahaja, Kedua: Wanita yang berpakaian namun seolah-olah tidak berpakaian dan Ketiga: Lelaki yang berkongsi perkara sulit tentang rumah tangganya dengan orang lain.

Oleh yang demikian, sama-samalah kita menghiasi diri kita dan keluarga kita dengan sifat malu kerana ia adalah benteng atau penghalang yang boleh mengelakkan diri kita daripada melakukan perbuatan munkar dan maksiat. Ingatlah, bahawa azab dan siksa Allah Subhanahu Wata'ala itu amatlah pedih. Akhirnya, semoga kita sentiasa dikurniakan rahmat dan perlindungan daripada Allah Subhanahu Wata'ala serta terhindar dan terselamat daripada azab siksanya. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al-Mulk ayat 12:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَخۡشَوۡنَ رَبَّهُم بِٱلۡغَيۡبِ لَهُم مَّغۡفِرَةٌ۬ وَأَجۡرٌ۬ كَبِيرٌ۬

صدق الله العظيم

“ Sesungguhnya orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka (walaupun) mereka tidak melihatnya, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.”

Attachments