Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

Manage PermissionsManage Permissions

MENJAUHI SIFAT NIFAQ

Muslimin yang dirahmati Allah,

MARILAH kita bertaqwa kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa, dengan melaksanakan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya iaitu mentaati Allah dan rasulNya. Berpegang teguh dengan ajaran Al-Qur’an dan mengikuti sunah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya, selamat dan bahagia di dunia dan juga di akhirat.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam merupakan uswah hassanah iaitu contoh teladan yang terbaik untuk diikuti oleh seluruh umat manusia dalam semua aspek kehidupan sama ada dari sudut ketaatan dan keimanan terhadap Allah Subhanahu Wata'ala, pergaulan, akhlak dan sebagainya. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Ahzab ayat 21 tafsirnya:

“Demi sesungguhnya pada diri Rasulullah itu ada contoh yang baik bagi kamu iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kebahagiaan) hari akhirat serta banyak berzikir dan mengingat Allah.”

Sebagai umat Islam, kita hendaklah mencontohi sifat-sifat dan akhlak yang ada pada diri baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam iaitu seperti sifat siddiq, amanah, tabliq dan fatanah. Sifat-sifat ini sepatutnya menjadi pakaian umat Islam jika mahu berjaya dalam kehidupan di dunia dan juga di akhirat. Justeru, kita hendaklah mengamalkan sifat-sifat mazmumah seperti bercakap bohong, berbuat jenayah dan mungkir janji. Ini kerana sifat-sifat tersebut adalah ciri-ciri orang munafiq.

Orang munafiq itu adalah orang yang lisannya bertentangan dengan apa yang ada di dalam hatinya. Di mulut ia memuji namun hatinya mencela, lidahnya membenarkan tetapi hatinya menyalahkan. Munafiq adalah orang yang berpura-pura atau orang yang bermuka dua. Daripada Umar bin Yasir Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Barangsiapa yang memiliki dua muka (munafiq) sewaktu di dunia, pada hari kiamat ia akan memiliki dua lidah dari api neraka. (Hadis diriwayatkan oleh Imam Ad-Darami)

Jemaah yang dirahmati Allah,

Orang munafiq adalah orang yang berpura-pura beriman sedangkan hati mereka tetap kufur terhadap Allah Subhanahu Wata'ala. Para ulamak mengolongkan munafiq itu kepada dua, iaitu:

Pertama: Munafiq Iktiqadi iaitu munafiq dari segi akidah dan iktiqad (kepercayaan), mereka ialah orang yang mengaku beriman kepada Allah Subhanahu Wata'ala secara luaran sahaja. Hakikatnya, mereka ragu-ragu dengan kebenaran agama Islam dan keesaan Allah Subhanahu Wata'ala. Segala amal perbuatan yang mereka lakukan itu bukan atas dasar keimanan dan ketaqwaan terhadap Allah Subhanahu Wata'ala.

Kedua: Munafiq Amali iaitu munafiq dari segi perbuatan dan amalan. Perbuatan dan amalan mereka menjurus kepada melakukan dosa-dosa besar. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam telah menerangkan dan memberi peringatan dengan jelas perihal orang munafiq supaya kita umat Islam dapat mengenal dan berwaspada terhadap mereka. Daripada Abdullah bin Amru Radiallahu Anhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Ada empat tanda, jika seseorang memiliki empat tanda ini, maka ia disebut munafiq tulen. Jika ia memiliki salah satu tandanya, maka dalam dirinya ada tanda kemunafiqan seperti ia meninggalkan perilaku tersebut, iaitu: Jika diberi amanah, ia khianat, jika berbicara, ia berdusta, jika membuat perjanjian, ia tidak dipenuhi, jika berselisih atau bertikai, dia akan berbuat zalim (Hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim).

Jemaah yang dirahmati Allah,

Sifat nifaq itu adalah satu perbuatan dosa dan berbahaya. Antara bahaya dan kesan buruk sifat nifaq itu disebutkan dalam Al-Qur’an itu ialah:

Pertama: Boleh menimbulkan permusuhan dan persengketaan.

Kedua: Lupa terhadap Allah Subhanahu Wata'ala.

Ketiga: Mendapat balasan azab yang pedih daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

Keempat: Tergolong dalam kalangan orang yang menipu Allah Subhanahu Wata'ala.

Kelima: Ditempatkan ke dalam neraka Hawiyah iaitu neraka yang paling bawah.

Selain itu, antara punca utama seseorang itu menjadi munafiq ialah kerana tidak memiliki iman yang teguh, hidupnya dipengaruhi oleh hawa nafsu, banyak melakukan maksiat dan dosa besar, jahil tentang ajaran agama Islam dan tidak mensyukuri nikmat dan kurniaan Allah Subhanahu Wata'ala. Ketahuilah, terdapat doa yang boleh kita amalkan bagi menhindari dan mengelakkan diri daripada bersifat nifaq. Antara doa yang diajarkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam:

“Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari kefakiran, kekufuran, kefasikan, kedurhakaan, kemunafiqan, sum’at dan riak.”

Akhirnya, marilah kita menjauhi diri daripada sifat-sifat tercela agar kita tidak tergolong dalam kalangan orang-orang munafiq. Sama-samalah kita berdoa semoga kita dan keluarga kita menjadi orang-orang yang beriman terhadap Allah Subhanahu Wata'ala dan rasulNya, bertaqwa dan beramal soleh serta selamat dari azab api neraka dan seterusnya tergolong dalam kalangan ahli syurga dengan izin dan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala jua. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah An-Nisaa’ ayat 145 tafsirnya:

“Sesungguhnya orang-orang munafiq itu ditempatkan ditingkatan yang paling bawah sekali dalam neraka. Dan engkau sekali-kali tidak akan mendapat sesiapa pun yang boleh menjadi penolong bagi mereka.”

Attachments