Muslimin yang dirahmati
Allah,
BERTAQWALAH kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan
sebenar-benar taqwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepadanya. Sesungguhnya orang
yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah orang yang paling
bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah
Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di
akhirat.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Masa itu sangat berharga dan ia berlalu
dengan begitu pantas tanpa kita sedari. Justeru, kita hendaklah menggunakan
masa yang ada dengan sebaik-baiknya. Sesungguhnya masa itu jika tidak
dimanfaatkan oleh manusia dengan sebaik-baiknya, nescaya ia akan benar-benar
dalam kerugian. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-‘Asr ayat 1-3
tafsirnya:
“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu
benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan
amalan-amalan soleh, dan saling berpesan untuk mengikut yang hak serta saling
berpesan untuk bersabar.”
Oleh yang demikian, kita hendaklah
menghargai masa, memanfaatkannya dan tidak membiarkan masa itu berlalu dengan
sia-sia. Ini kerana di akhirat kelak, kita semua akan ditanya adakah kita telah
menggunakan pembayaran atau nikmat-nikmat yang dikurniakan Allah Subhanahu
Wata'ala dengan sebaik-baiknya. Daripada Abu Barzakh Aslami Radiallahu
Anhu ia berkata: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Tidak akan
bergerak kedua-dua kaki seseorang hamba itu pada hari kiamat di Padang Mashyar
sehingga ia disoal tentang umurnya bagaimana dihabiskan, tentang ilmunya apa
yang dilakukan dengannya, tentang hartanya dari mana diperolehi dan untuk apa
yang dibelanjakan dan tentang tubuh badannya bagaimana ia menggunakannya.
(Hadis riwayat Imam Termizi)
Jemaah yang dirahmati Allah,
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam
telah berpesan dan memberi nasihat perihal masa dalam hadis yang diriwayatkan
oleh Imam Hakim. Daripada Ibnu Abas Radiallahu Anhuma ia berkata: Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda kepada seseorang lelaki dan baginda
menasihatinya: Rebutlah lima perkara sebelum kamu diingati oleh lima perkara
yang lain. Masa mudamu sebelum tuamu, masa sihatmu sebelum sakitmu, masa kayamu
sebelum fakirmu, masa lapangmu sebelum kesibukanmu dan masa hidupmu sebelum
matimu.
Justeru, orang yang bijak menguruskan dan
menggunakan masanya dengan mentaati segala perintah Allah Subhanahu Wata'ala
dan meninggalkan segala laranganNya, membuat amal perbuatan yang baik dan
melakukan perkara yang berfaedah, maka mereka itulah orang-orang yang beruntung
dan berjaya dalam kehidupan di dunia apatah lagi di akhirat.
Manakala orang yang lalai dan membiarkan
masa itu berlalu dengan begitu saja tanpa mengisi masa itu dengan melakukan
perkara-perkara yang bermanfaat dan berfaedah sehingga meninggalkan dan
melalaikan kewajipan yang diperintahkan Allah Subhanahu Wata'ala. Maka mereka itulah
orang-orang yang rugi. Oleh yang demikian, kita hendaklah sentiasa beringat dan
memanfaatkan masa yang ada ini dengan sebaik-baiknya dan memanfaatkan masa yang
ada ini dengan sebaik-baiknya.
Dalam menjalani kehidupan kita sehari-hari,
kita sering merasakan bahawa masa itu berlalu dengan begitu cepat sehingga
terdapat segelintir daripada kita yang merasakan tidak mempunyai masa yang
cukup untuk menguruskan keperluan dan kehidupan seharian. Perlu diingat, bahawa
masa itu sifatnya pantas dan apabila masa itu telah berlalu, maka ia tidak akan
kembali lagi, itulah antara sifat dan ketentuan yang ada pada masa.
Ketahuilah, bahawa masa atau waktu yang
berlalu dengan pantas itu adalah termasuk dalam tanda-tanda hampir berlakunya
hari kiamat. Daripada Anas bin Malik Radiallahu Anhu, Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda yang bermaksud: Tidak akan berlaku kiamat
sehingga waktu terasa begitu pantas, maka setahun dirasakan seperti sehari,
sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti sambaran api.
(Hadis riwayat Imam Termizi)
Jemaah yang dirahmati Allah,
Orang yang tidak tahu menghargai dan
memanfaatkan masanya pada masa ini, maka dia akan menyesal di akhirat kelak. Dalam
Al-Qur’an ada disebutkan bahawa manusia itu akan menyesal pada dua keadaan,
yang mana penyesalannya pada ketika itu sudah tidak ada gunanya lagi, iaitu:
Pertama: Disaat ajal sudah hampir tiba. Pada sangat
ini manusia akan berdoa dengan penuh harapa kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar
usia mereka dipanjangkan untuk membolehkan mereka memperbaiki diri akan tetapi Allah
Subhanahu Wata'ala sekali-kali tidak akan menangguhnya kematian seseorang itu
apabila sudah sampai ajalnya.
Kedua: Di akhirat kelak, seisi neraka mahupun agar
mereka dikembalikan semula ke dunia supaya mereka dapat berbuat amal soleh. Akan
tetapi, masa untuk merayu sudah habis tempohnya. Allah Subhanahu Wata'ala tidak
lagi menerima sebarang rayuan kerana pada masa itu hanyalah untuk untuk masa
perhitungan dan hari pembalasan.
Sesungguhnya kita hidup di dunia yang fana
ini hanya sementara. Justeru, kita hendaklah menggunakan dan mengurus masa itu
dengan penuh bijaksana. Terdapat banyak perkara yang boleh kita lakukan agar
masa kita itu tidak terabai dan terbuang begitu sahaja, antaranya seperti
menggunakan masa itu untuk memperbanyakkan amal ibadah dan amal kebajikan,
mengisi masa itu dengan menimba ilmu pengetahuan, menggunakan masa itu untuk
memikirkan dan merancang masa depan, meluangkan masa depan, meluangkan masa
bersama ahli-ahli keluarga dan memanfaatkan masa dengan berusaha untuk sentiasa
memajukan diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Akhirnya, semoga Allah Subhanahu Wata'ala
menjadikan kita dari kalangan hamba-hambaNya yang sentiasa menghargai dan
memanfaatkan masa serta memimpin kita agar terus beristiqamah dalam melakukan
ketaatan bagi meraih kebahagiaan di akhirat kelak. Amin Ya Rabbal Alamin.
Surah Dd-Dhuha ayat 4:
“Dan
sesungguhnya (kehidupan) akhirat adalah lebih baik bagimu daripada (kehidupan)
dunia.”