Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

Manage PermissionsManage Permissions

MEMBANTERAS JENAYAH CURI

Muslimin yang dirahmati Allah,

BERTAQWALAH kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepadanya. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Sebagai manusia biasa, kita tidak pernah terlepas dari melakukan kesalahan dan kesilapan, sama ada kecil ataupun besar, senghaja ataupun tidak. Ini kerana Allah Subhanahu Wata'ala menciptakan manusia itu bersifat lemah dan mudah tunduk pada keinginan syahwat dan hawa nafsu. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah An-Nisaa’ ayat 28 tafsirnya:

“Allah hendak meringankan (memudahkan hukum-hukum syarak) kepada kamu, kerana manusia itu dijadikan bersifat lemah (tidak kuat menahan keinginan nafsu syahwat).”

Namun, ini bukanlah satu alasan yang membolehkan kita berbuat dosa dengan sewenang-wenangnya. Adapun antara perkara dosa dan munkar yang semakin menjadi-jadi dilakukan sejak kebelakangan ini ialah jenayah curi.

Sesungguhnya mencuri itu adalah perbuatan yang berdosa kerana mengambil sesuatu yang menjadi hak milik orang lain secara batil ataupun salah. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 188 tafsirnya:

“Dan janganlah kamu makan harta (orang lain) antara kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim supaya kamu dapat mengambil sebahagian daripada harta orang dengan cara berbuat dosa padahal kamu mengetahui salahnya.”

Jemaah yang dirahmati Allah,

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam dalam hadis baginda mengingatkan umatnya bahawa orang yang mengambil atau mencuri harta orang lain dan belum sempat bertaubat serta belum mengembalikan ataupun menggantikan barang-barang curiannya itu kepada pemiliknya, maka orang yang mengambil atau mencuri harta itu akan dituntut oleh pemilik harta tersebut pada kiamat kelak. Daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam pernah bertanya kepada para sahabat: “Tahukah kamu siapa orang yang muflis?” Para sahabat menjawab: “Orang yang muflis menurut kami ialah orang yang tidak memiliki wang dan harta benda”. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: “Sesungguhnya orang yang muflis dikalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa, dan zakat, tetapi ia juga datang membawa dosa berupa perbuatan mencela, menuduh, memakan harta orang lain, menumpahkan darah, dan menyakiti orang lain. Kelak kebaikan-kebaikan akan diberikan kepada orang yang pernah ia zalimi. Apabila amalan kebaikannya sudah habis diberikan, sementara belum selesai pembalasan terhadap kezalimannya, maka diambil dosa-dosa orang yang pernah dizaliminya itu, lalu diberikan kepadanya. Kemudian dia pun dilemparkan ke dalam neraka.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Kita dapat mendengar di jurong-jurong radio dan melihat di kaca televisyen berita-berita mengenai jenayah curi yang berlaku di negara ini. Apa yang lebih mendukacitakan lagi ialah perbuatan mencuri itu selain melibatkan harta benda persendirian, ia juga melibatkan kemudahan awam dan harta benda kerajaan seperti besi-besi penutup longkang ditepi-tepi jalan, kabel telekominikasi, dawai elektrik, peralatan yang diperbuat dari logam seperti tembaga, besi dan seumpamanya.

Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan dari bulan Januari, 2018 sehingga Mac, 2021, Jabatan Perkhidmatan Elektrik telah mengalami sebanyak 57 kejadian kecurian dan pemugut, 9 darinya telah mengakibatkan gangguan bekalan kepada pengguna.

Perlu diketahui, bahawa perbuatan mencuri dan memugut ini disamping menganggu ketenteraman orang-orang awam, ia juga boleh membahayakan diri pencuri itu sendiri seperti menyebabkan kecederaan dan kematian.

Justeru, bagi sama-sama membendung gejala dan perbuatan mencuri dan memugut ini dari berleluasa. Pihak-pihak yang berautoriti ingin mengingatkan dan memohon kerjasama orang ramai untuk melapor ke talian darussalam 123 sekiranya terdapat sebarang aktiviti yang mencurigakan, yang berlaku di kawasan di mana terdapatnya aset-aset jabatan dan kerajaan seperti di bangunan sub station elektrik dan seumpamanya.

Sesungguhnya mencuri itu adalah perbuatan yang disebabkan kerana lemah dan kosongnya iman dalam diri seseorang itu. Daripada Ibnu Abas Radiallahu Anhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam: Dan tidaklah beriman seorang pencuri ketika ia sedang mencuri. (Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Jemaah yang dirahmati Allah,

Semua pihak adalah berperanan untuk mencegah dari berlakunya jenayah curi dari berleluasa dan pencegahan jenayah curi itu bermula seawal dari bangku sekolah lagi dengan setiap orang daripada kita mendapat pendidikan agama dan akidah yang mantap. Ini kerana orang yang teguh agamanya dan mantap akidah serta imannya akan meyakini bahawa setiap perbuatannya itu sentiasa dilihat oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Oleh yang demikian, seseorang yang sentiasa ingat bahawa setiap perbuatannya itu adalah dilihat dan diketahui Allah Subhanahu Wata'ala, maka dia tidak akan berani untuk melakukan sesuatu jenayah itu seperti jenayah curi ataupun perbuatan dosa dan munkar yang lain. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Hujurats ayat 18 tafsirnya:

“Sesungguhnya Allah mengetahui segala perkara ghaib di langit dan di bumi. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”

Akhirnya, selaku rakyat dan penduduk negara ini, marilah kita sama-sama berkerjasama dan berganding bahu dalam membanteras jenayah terutamanya jenayah curi ini demi menjaga keamanan, kesejahteraan dan keharmonian negara kita yang tercinta ini. Sama-samalah kita berdoa semoga Allah Subhanahu Wata'ala akan sentiasa memberi kita taufik dan hidayah agar dijauhkan dari melakukan perbuatan-perbuatan dosa dan munkar seperti mencuri harta dan mengambil hak milik orang lain. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Ghafir ayat 60 tafsirnya:

Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kepadaKu nescaya Aku memperkenankan doa kamu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada beribadah kepadaKu akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

Attachments