Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

Manage PermissionsManage Permissions

MENTAATI DAN MENSYUKURI KEPIMPINAN RAJA

Muslimin yang dirahmati Allah,

BERTAQWALAH kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepadanya. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, pada 15 Julai tahun ini genaplah 75 tahun usia raja dan ulil amri yang kita taati dan kasihi, iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Sepanjang lebih lima dekad pemerintahan baginda, dengan izin dan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala jua, kita selaku rakyat dan penduduk negara ini dapat menikmati keamanan, kedamaian dan kemakmuran. Sesungguhnya nikmat keamanan, nikmat kedamaian dan nikmat kemakmuran yang kita nikmati selama ini, adalah berkat dari kepimpinan raja kita yang bijaksana yang sentiasa menitik beratkan ajaran agama Islam.

Dalam pentadbiran dan pengurusan negara, agama Islam terus mendominasi dan mewarnai setiap gerak langkah untuk maju kehadapan. Dalam makna yang lebih luas, ajaran agama Islam itu lebih didepankan dan diutamakan dari segala-galanya. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Hajj ayat 41 tafsirnya:

“Iaitu mereka (orang Islam) yang jika kami teguhkan kedudukan mereka di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang dan membayar zakat serta mereka menyuruh (berbuat) yang makruf dan melarang daripada (mengerjakan) yang mungkar. Dan kepada Allah jualah kesudahan segala urusan.”

Jemaah yang dirahmati Allah,

Kepimpinan raja kita tidak pernah membelakangkan agama dalam apa sekalipun. Malah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia sentiasa berusaha dengan gigih untuk menjadikan bumi Darussalam ini sebagai sebuah negara zikir iaitu negara yang sentiasa mengingati dan mendahulukan Allah Subhanahu Wata'ala dalam apa jua tindak-tanduk yang diambil, sentiasa menyebut dan mengamalkan ajaran Allah Subhanahu Wata'ala dalam segenap bidang kehidupan.

Natijahnya, negara kita terus menikmati kesejahteraan dan kesentosaan yang berpanjangan. Ini adalah berkat kepimpinan raja kita yang memberikan perhatian yang berat pada agama Islam. Islam terus diperhebat bukan sahaja dalam pentadbiran agama tetapi agama Islam itu juga diaplikasikan dalam kehidupan rakyat dan penduduknya. Hasilnya, negara kita terhindar dari pelbagai kemelut seperti huru-hara, perpecahan, ketidak stabilan politik dan ekonomi, bencana alam yang teruk dan seumpamanya. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Muhammad ayat 7 tafsirnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (membela agama) Allah nescaya Dia akan menolong kamu (mencapai kemenangan) dan meneguhkan pendirian kamu.”

Jemaah yang dirahmati Allah,

Semenjak baginda menaiki tahta pada tahun 1967, dengan izin Allah Subhanahu Wata'ala juga negara kita Brunei Darussalam telah mengalami dan mencapai pelbagai kemajuan dan pelbagai bidang yang sama ada dalam bidang agama politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan dan lain-lain lagi. Dengan kepimpinan, usaha dan kegigihan baginda itulah yang membawa Negara Brunei Darussalam dikenali dan dihormati di mata dunia.

Sebagai rakyat dan penduduk yang bernaung di bumi Darussalam ini, maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa taat dan patuh kepada raja pemimpin kita. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah An-Nisaa’ ayat 59 tafsrinya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ulilamri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara maka kembalikanlah kepada (kitab) Allah (Al-Qur’an) dan (sunnah) rasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.”

Sesungguhnya mentaati dan mematuhi pemimpin itu adalah sebahagian dari ciri orang-orang yang beriman dan bertaqwa serta tanda ketaatan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan rasulNya.

Perlu diketahui, bahawa taat dan patuh kepada pemimpin itu mempunyai pengertian yang amat luas. Ia bukan sahaja terhad kepada mematuhi segala perintah dan arahan yang diberikan secara lisan, bahkan ketaatan yang dimaksudkan juga adalah meliputi dalam mentaati dan mematuhi serta melaksanakan segala peraturan-peraturan, dasar-dasar dan undang-undang negara.

Akhirnya, marilah kita menjadi hamba-hamba yang sentiasa taat dan patuh kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan rasulNya serta menjadi rakyat dan penduduk yang sentiasa taat dan patuh kepada raja.

Sama-samalah kita memanjatkan doa kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala semoga detik keputraan yang bersejarah ini akan berulang lagi tahun demi tahun, dengan baginda beroleh pemeliharaan, perlindungan dan pertolongan Allah Subhanahu Wata'ala serta kekal qarar memerintah bumi bertuah Brunei Darussalam ini. Amin, Amin, Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Ghafir ayat 60 tafsirnya:

“Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa kamu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada beribadah kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

Attachments