Muslimin yang dirahmati Allah,
BERTAQWALAH kita kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala
dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepadanya.
Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah
orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa
mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia
dan juga di akhirat.
Allah
Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Hujurat ayat 13 tafsirnya:
“Wahai manusia!
Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu daripada laki-laki dan perempuan dan
kami telah menjadikan kamu berbagi-bagi bangsa dan puak supaya kamu
berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah ialah orang yang
paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha
Teliti.”
Jemaah yang dirahmati
Allah,
Allah Subhanahu Wata'ala
menciptakan manusia dari kalangan lelaki dan wanita dengan ke pelbagaian bangsa
dan budaya bagi bertujuan untuk saling melengkapkan di antara satu sama lain.
Menurut pandangan agama
Islam, semua manusia itu sama ada lelaki ataupun wanita, tidak dibezakan dari
segi darjat, keturunan mahupun kedudukan melainkan nilai ketakwaannya di sisi Allah
Subhanahu Wata'ala.
Sesungguhnya wanita itu
diciptakan Allah Subhanahu Wata'ala memiliki sifat lemah-lembut, penyayang,
berjiwa halus dan mempunyai tahap kesabaran yang tinggi. Oleh yang demikian,
wanita mampu menjadi suri rumah yang baik, pekerja yang rajin, isteri yang taat
serta ibu yang penyayang dan penyabar dalam melayani ragam keluarga dan
anak-anak.
Walaupun wanita itu adalah
makhluk ciptaan Allah Subhanahu Wata'ala yang berbeza dengan golongan lelaki
dari segi ketahanan dan kekuatan fizikalnya, namun mereka mempunyai hati dan
semangat yang cekal dan kental. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam dalam
hadis baginda ada menyebutkan mengenai wanita-wanita yang boleh dijadikan
sebagai contoh agar dapat menjadi ikutan kepada wanita pada masa kini. Daripada
Anas bin Malik Radiallahu Anhu, bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wassallam
bersabda: Cukuplah sebagai contoh bagi kamu dari wanita iaitu Maryam binti
Imran, Khadijah binti Khualid, Fatimah binti Muhammad dan Asiyah isteri firaun.
(Hadis Riwayat Imam Termizi)
Jemaah yang dirahmati
Allah,
Rasulullah Sallallahu
Alaihi Wassallam dalam hadis baginda menjelaskan bahawa sebaik-baik orang itu
adalah orang yang berbuat dan berlaku baik kepada wanita, ini jelas menunjukkan
bahawa wanita itu seharusnya dimuliakan, dihormati dan disayangi. Daripada
Abu Hurairah Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda:
Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya. Dan sebaik-baik
kamu adalah mereka yang berbuat baik kepada kaum wanita mereka.” (Hadis Riwayat
Imam Termizi)
Alhamdulillah, Negara
Brunei Darussalam adalah sebuah negara yang senantiasa mengelinga seluruh
lapisan rakyatnya apatah lagi terhadap kaum wanita.
Justeru, paad 8 Mac setiap
tahun, kita di Negara Brunei Darussalam menyambut Hari Wanita Antarabangsa yang
antaranya bertujuan untuk meraikan pencapaian para wanita di seluruh dunia
dalam aspek sosial, ekonomi, budaya dan politik. Tema Sambutan Hari Wanita
Antarabangsa bagi tahun 2022 ialah “Kesaksamaan Jantina Hari Ini Untuk Masa
Depan Yang Mampan”.
Jemaah yang dirahmati
Allah,
Ketika negara semakin
maju, peranan wanita dalam pembangunan negara menjadi semakin penting. Sebahagian
besar wanita sekarang terlibat dalam pelbagai pekerjaan di luar rumah. Peranan mereka
tidak lagi terhad di rumah sebagai ibu mahupun isteri tetapi juga dalam
pelbagai aktiviti pekerjaan di luar rumah dari aktiviti ekonomi tidak formal
hinggalah kepada bidang profesional seperti dalam bidang pendidikan, keugamaan,
perubatan, kejuruteraan, perbankan, perundangan dan sebagainya.
Oleh yang demikian,
sejajar dengan kedudukan wanita sebagai nadi dalam sesebuah keluarga dan mendokong
pembangunan negara, maka pencapaian wanita itu perlu diraikan pelbagai aspek.
Alhamdulillah, di Negara
Brunei Darussalam kita mengiktirafkan kepentingan peranan wanita dalam pembangunan
sosio-ekonomi negara, di samping mengakui bahawa kesaksamaan hak dan pemerkasan
wanita.
Peranan dan sumbangan
wanita di Negara Brunei Darussalam adalah sangat penting bagi pembangunan
sosio-ekonomi dan pemeliharaan keamanan dan keselamatan. Mereka telah sama-sama
berganding bahu bagi mencapai kemajuan ekonomi, kesejahteraan keluarga, sosial
dan kemakmuran negara. Akhirnya, sebagai umat Islam, marilah kita mencontohi
cara Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam dalam menyantuni golongan wanita.
Oleh yang demikian,
muliakan, hormati dan sayangilah mereka sebagaimana yang telah ditetapkan dalam
agama Islam.
Surah An-Nisaa’ ayat 1:
“Wahai manusia! Bertaqwalah
kepada tuhan kamu yang telah menciptakan kamu daripada diri yang satu (Adam
Alaihissalam), Dia (Allah) menciptakan daripadanya pasangannya (Hawa), Dia
(Allah) mengembang biakkan daripada kedua-duanya (zuriat keturunan) laki-laki
dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan namaNya kamu
saling meminta serta (peliharalah) hubungan silaturrahim (kaum kerabat). Sesungguhnya
Allah adalah Maha Mengawasi (Memerhati) kamu.”