Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

Manage PermissionsManage Permissions

BAHAYA-BAHAYA ATAU KEJAHATAN-KEJAHATAN LIDAH

Muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama mengukuhkan iman dan taqwa kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan mematuhi segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Dengan berbekalkan iman dan taqwa itu, mudah-mudahan kita sentiasa selamat di dunia dan selamat di akhirat. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala terus menetapkan dan meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita hingga ke akhir hayat.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Allah Subhanahu Wata'ala menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian dan dilengkapi dengan anggota tubuh badan yang mempunyai tugas masing-masing. Anggota-anggota tersebut bukanlah untuk digunakan dengan sewenang-wenangnya tanpa batasan kerana setiap anggota tubuh badan itu akan dipertanggungjawabkan dan disoal di akhirat kelak. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Isra’ ayat 36:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِۦ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُو۟لٰٓئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْـُٔولً

صدق الله العظيم

“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semuanya itu akan dipertanggungjawabkan mengenainya.”

Salah satu anggota yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata'ala yang patut kita syukur dan mesti dijaga itu adalah lidah. Lidah ialah satu pancha indera yang kecil terdapat di dalam mulut, digunakan sebagai alat perasa atau untuk berkata-kata dan lain-lain lagi. Namun peranan dan kesannya sangat besar dalam kehidupan kerana ia sebagai pintu kepada setiap insan dalam berbuat ketaatan atau kemaksiatan.

Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala menciptakan lidah itu dengan tujuan untuk membaca Al-Qur’an, berzikir, berdoa, nasihat-menasihati, berkata benar, menyampaikan ilmu, menyeru manusia pada mentaati segala perintah Allah Subhanahu Wata'ala dan menjauhi segala laranganNya. Oleh itu, kita hendaklah memelihara lidah daripada perkara-perkara buruk atau munkar, seperti memelihara lidah dari berkata bohong, keji memfitnah dan sebagainya. Ingatlah, bahawa setiap perkataan yang kita ucapkan akan dipersoalkan di akhirat kelak. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Qaaf ayat 16:

 أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ

صدق الله العظيم

“Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkan atau perbuatan yang dilakukannya melainkan ada disisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia menerima dan menulisnya.”

Muslimin yang dirahmati Allah,

Di zaman era teknologi maklumat ini juga telah menyebar luaskan lagi peranan dan pengaruh lidah, iaitu melalui kata-kata yang telah disebarkan atau ditularkan melalui media massa dan media baru. Ingatlah, kita hendaklah bertanggungjawab ke atas setiap cerita atau berita yang hendak disampaikan atau disebarkan dengan memastikan bahawa cerita atau berita itu adalah benar dan sahih. Imam Al-Ghazali Rahmatullah Ta’ala Anhu berkata Lidah manusia adalah benda paling tajam di dunia kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.

Oleh yang demikian, jika lidah digunakan ke arah kebaikan maka akan baiklah jadinya akan tetapi jika ia digunakan ke arah kejahatan maka jahatlah jadinya. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam memberi jaminan bahawa orang yang dapat menjaga lidahnya, maka ganjarannya adalah syurga. Sebagaimana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda:

عن سهل بن سعد عن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: من يضمن لي ما بين لحييه وما بين رجليه أضمن له الجنة {زواه الإمام بجاري}

Maksudnya:

Daripada Sahli bin Sa’din, daripada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam, baginda Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Sesiapa yang menjamin bagiku apa yang ada di antara tulang dagunya (mulut dan lidah) dan apa yang ada di antara dua kakinya (kemaluan), maka aku menjamin baginya syurga.”

Muslimin yang dirahmati Allah,

Agama Islam ada mengajarkan kepada kita mengenai faedah untuk memelihara lidah dari perkara yang mendatangkan dosa seperti apabila seseorang hendak berkata-kata atau memberikan teguran maka hendaklah ia berfikir terlebih dahulu dan apabila ternyata tidak ada bahaya atasnya atau perkataan yang akan diucapkan itu maka barulah ia berkata-kata. Tetapi bila mana ternyata sebaliknya, maka diamlah. Dalam kehidupan ini, kita perlu berhati-hati dan menjaga dua hubungan iaitu Hablumminallah (hubungan dengan Allah) Wahablumminnannas (dan hubungan dengan manusia). Jangan sampai lidah yang mengeluarkan nasihat dan teguran itu menyebabkan keretakan dan kerenggangan hubungan silaturrahim, perselisihan apatah lagi yang boleh menimbulkan kebencian, dendam dan permusuhan.

Imam As-Syafiee Rahmatullah Ta’ala berkata: Sesiapa yang menasihatimu secara sembunyi-sembunyi, maka ia benar-benar menasihati. Sesiapa yang menasihaimu di khalayak ramai, maka ia sebenarnya sedang menghinamu. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Nahl ayat 125:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجٰدِلْهُم بِالَّتِى هِىَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

صدق الله العظيم

“Serulah ke jalan Tuhanmu wahai Nabi Muhammad dengan hikmak kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia yang lebih mengetahui siapa yang sesat daripada jalannya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”

Imam Al-Ghazali Rahmatullah Ta’ala Anhu ada menyebutkan dalam kitabnya Ihya Ulum Middin tentang bahaya-bahaya atau kejahatan-kejahatan lidah. Antaranya, bercakap pada perkara-perkara yang tidak perlu atau sia-sia, perkara-perkara maksiat, berbantah-bantah dan bertengkar dalam perkara yang tidak berfaedah dan remeh-temeh yang boleh mengakibatkan perselisihan faham dan pergaduhan sesama sendiri, memaki hamun, berjanji dusta atau berbohong, mengumpat dan mengadu domba sesama Islam baik dalam kalangan keluarga, jiran, sahabat handai, rakan sekerja dan seumpamanya.

Akhirnya, marilah kita sama-sama mengunakan lidah yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata'ala untuk perkara-perkara kebaikan dan berkebajikan bukannya ke arah perkara-perkara kejahatan atau kemunkaran apatah lagi yang boleh menyebabkan permusuhan dan perpecahan umat Islam. Memanfaatkan lidah agar kita beroleh pahala dan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala dengan berzikir, bertasbih, bertahmid dan bermacam-macam lagi amal ibadah yang boleh menyelamatkan kita daripada api neraka dan membawa kita ke syurga. Marilah kita sama-sama bermuhasabah diri dengan sisa umur kita masih ada ini dengan berdoalah semoga Allah Subhanahu Wata'ala sentiasa melindungi dan merahmati kita daripada perkara-perkara yang boleh mendatangkan dosa dan maksiat. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Yaasin ayat 65:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَىٰٓ أَفْوٰهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَآ أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ

صدق الله العظيم

“Pada hari itu kami menguji mulut mereka, dan tangan mereka memberitahu kami kesalahan masing-masing dan kami mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.”

Attachments