Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

Manage PermissionsManage Permissions

HIKMAT DISEBALIK SAKIT

Muslimin yang dirahmati Allah,

BERTAQWALAH kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala dan melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Dalam menjalani kehidupan ini, kita tidak akan dapat lari daripada menerima ujian dan dugaan daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Ujian dan dugaan tersebut sama ada berbentuk kebaikan atau keburukan, kegembiraan atau kesedihan, kejayaan atau kegagalan, kemiskinan atau kekayaan, kesihatan atau kesakitan dan sebagainya. Sesungguhnya ujian dan dugaan yang ditimpakan Allah Subhanahu Wata'ala kepada hamba-hambaNya itu adalah untuk menguji sejauh mana kekuatan iman, ketaqwaan dan kesabaran mereka. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Ankabut ayat 2-3:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ (٢) وَلَقَدۡ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ‌ۖ فَلَيَعۡلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَلَيَعۡلَمَنَّ ٱلۡكَـٰذِبِينَ (٣)

صدق الله العظيم

“Adakah manusia itu menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan (hanya) berkata: Kami telah beriman, sedang mereka tidak diuji. Dan demi sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar beriman dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta.”

Antara ujian yang benar-benar menduga keimanan dan kesabaran seseorang itu ialah ujian sakit. Iaitu menderita terhadap sesuatu yang menimpa diri seseorang yang menyebabkan sakit atau sebahagiantubuh berasa tidak sihat atau uzur. Ketahuilah, bahawa terdapat hikmah dan kebaikan disebalik ujian sakit itu, antaranya jika orang itu redha, sabar dan tabah menghadapi penyakitnya, maka mereka akan mendapat ganjaran pahala dan pengampunan daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Selain itu, ujian sakit juga sebagai peringatan kepada kita agar tidak lalai dan leka dari mengerjakan suruhan Allah Subhanahu Wata'ala dan meninggalkan laranganNya serta supaya kita sentiasa terus mengingati dan taat kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

Jika semasa sihat seseorang itu lazimnya terlalu sibuk dengan urusan duniawi sehingga lupa pada kewajipannya untuk memperhambakan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan beribadah kepadaNya, maka Allah Subhanahu Wata'ala mengujinya dengan suatu penyakit untuk membuatnya sedar dan kembali mengingat Allah Subhanahu Wata'ala dan jika ia terlanjur akan segala kesalahan dan dosa yang telah dilakukannya. Selain itu, dengan kesakitan juga akan membuatkan seseorang itu lebih mensyukuri nikmat sihat yang telah dikurniakan kepadanya selama ini. Sesungguhnya nikmat kesihatan dan kelapangan adalah dua perkara yang sering kali dilupakan dan diabaikan, kecuali apabila telah datang waktu sakit dan waktu sibuk barulah seseorang itu terfikir bagaimana ia telah mensia-siakan nikmat sihat dan lapang tersebut. Perkara ini ada disebut oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari, daripada Ibni Abas Radiallahu Anhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda:

Ada dua jenis nikmat yang kebaikan orang terlalai olehnya, iaitu kesihatan dan waktu lapang.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Apabila diuji dengan suatu penyakit sama ada sakit yang ringan mahupun kronik, maka sebagai umat Islam, perkara utama yang perlu dilakukan ialah muhasabah diri, mengingat kembali kesalahan atau dosa yang telah dilakukan. Setelah itu, kita hendaklah menyesali ketelanjuran itu dan seterusnya bertaubat dan berazam tidak akan melakukannya lagi. Dalam menghadapi ujian dan dugaan yang menimpa kita itu.

Apabila ditimpa dengan ujian ini, kita mestilah bersabar dan menerimanya dengan redha tanpa sebarang keluhan dan rintihan. Jangan sekali-kali menyalahkan ketentuan dan ketetapan Allah Subhanahu Wata'ala kerana hanya Allah Subhanahu Wata'ala yang Maha Mengetahui rahsia dan hikmah disebalik ujian yang dikurniakannya itu. Terdapat dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhu bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda:

Sesiapa yang Allah inginkan padanya sesuatu kebaikan, maka Allah akan mengujinya.

Ketahuilah, dalam menghadapi ujian sakit, ada beberapa perkara yang harus kita lakukan, sebagai hamba yang benar-benar beriman antaranya ialah dengan membaca dan mengamalkan ayat-ayat dari Al-Qur’an, selawat, zikir atau doa-doa tertentu sebagai jalan atau usaha untuk memohon kesembuhan. Sesungguhnya setiap ayat-ayat Al-Qur’an itu mempunyai kelebihan dan keagungan yang tersendiri. Al-Qur’an juga adalah penawar atau ubat yang mampu menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Israa’ ayat 82:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

وَنُنَزِّلُ مِنَ ٱلۡقُرۡءَانِ مَا هُوَ شِفَآءٌ۬ وَرَحۡمَةٌ۬ لِّلۡمُؤۡمِنِينَ‌ۙ وَلَا يَزِيدُ ٱلظَّـٰلِمِينَ إِلَّا خَسَارً۬ا

صدق الله العظيم

“Dan kami menurunkan daripada Al-Qur’an suatu penawar (bagi penyakit rohani dan jasmani) dan rahmat bagi orang-orang yang beriman, dan Al-Qur’an itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim (orang kafir) selain kerugian.

Selain berubat dengan ayat-ayat Al-Qur’an, Islam juga ada mengajar kaedah perubatan yang diamalkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam iaitu dengan mengamalkan permakanan yang sihat seperti kurma, minum air zam zam, madu dan sebagainya.

Terdapat satu amalan doa yang diajarkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam jika seseorang itu mengalami sakit pada sesuatu anggota badan, doa ini mampu mengubati penyakit pada diri sendiri dan orang lain. Satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim bahawa Uthman bin Abi Al-‘Asaqafi telah menderita sakit pada salah satu anggota tubuhnya. Kemudian dia menemui Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam menerangkan tentang penyakit yang dideritainya itu. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Letakkan tanganmu pada bahagian yang sakit, bacalah Bismillah, Bismillah, Bismillah, angkatlah tanganmu dan letakkan kembali, kemudian bacalah Auzubillah Waquratihi Min Syarima Ajidu Uhaziru ertinya: Aku berlindung kepada Allah dan kekuasaanya dari penyakit yang aku derita dan aku cemaskan, bacalah sebanyak tujuh kali, ulanglah beberapa kali setiap hari dan malam.

Uthman bin Abi Al-‘Asaqafi menerangkan bahawa setelah aku amalkan ajaran Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam itu, tidak lama kemudian aku berasa sembuh daripada penyakit yang telah aku derita beberapa waktu lamanya.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Ketika menghadapi sakit, mungkin ada sebahagian orang yang kecewa, mengeluh dan berputus asa. Lebih-lebih lagi jika penyakit yang dihidapi itu diperingkat tiada harapan untuk sembuh. Dalam keadaan begini, Islam melarang umatnya berputus asa dan mengajar cara dan bimbingan ketika menghadapinya, antaranya:

Pertama: Sunat bagi orang yang sakit berubat atau mendapatkan rawatan sebagai salah satu usaha untuk sembuh selain daripada bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan redha akan ketentuanNya.

Kedua: Sunat memperbanyakan mengingati mati.

Ketiga: Bertaubat terhadap segala dosa yang pernah dilakukan.

Keempat: Bersabar dengan kesakitan atau penderitaan kerana ia dapat mendidik seseorang itu untuk bersifat lebih tabah dan tenang menghadapi dugaan serta mendekatkan dirinya kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

Kelima: Makruh bagi orang yang sakit mengeluh kerana kesakitan yang dihadapinya.

Keenam: Sunat memperbanyakkan membaca Al-Qur’an dan berzikir kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

Ketujuh: Hendaklah bersangka baik kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

Kelapan: Sunat dia bepesan kepada ahli keluarganya dan kawan-kawannya pada beberapa perkara seperti berpesan untuk mengasihani dan berlemah-lembut dengan kanak-kanak dan sesiapa sahaja yang ditinggalkannya.

Kesembilan: Apabila dia menghadapi nazak, maka hendaklah dia memperbanyakkan mengucap: Laillahaillallah (Tiada Tuhan Selain Allah), agar lafaz ini menjadi akhir kalimah atau ucapannya sebelum dia meninggal dunia.

Sesungguhnya sakit itu adalah suatu ujian atau dugaan untuk menguji keimanan dan ketaqwaan seseorang. Oleh itu, jadikanlah sakit sebagai tarbiah untuk kita bermuhasabah diri dan memupuk kesabaran. Seseorang yang ditimpa sakit perlu menghadapi ujian ini dengan redha di samping berusaha untuk merawatnya. Seandainya kita telahpun berusaha mendapatkan rawatan, namun penyakit tersebut belum juga sembuh, maka kita hendaklah bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan tidak berputus asa untuk memohon kesembuhan daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Ingatlah, bahawa sakit itu daripada Allah Subhanahu Wata'ala, Dialah juga yang berkuasa untuk menyembuhkannya.

Akhirnya sama-samalah kita berdoa: Ya Allah! Kami memohon kepadaMu keselamatan dalam agama, kesejahteraan pada tubuh badan, penambahan ilmu, keberkatan rezeki, mendapat rahmat ketika menghadapi kematian, keampunan selepas kematian, mendapat kebahagiaan pada hari perhitungan (hari akhirat) dan terlepas daripada siksaan dan azab api neraka serta dimasukkan ke dalam syurga bersama para nabi, orang-orang siddiqin, para syuhada dan orang-orang soleh. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al-Syuara ayat 78-80:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

ٱلَّذِى خَلَقَنِى فَهُوَ يَہۡدِينِ (٧٨) وَٱلَّذِى هُوَ يُطۡعِمُنِى وَيَسۡقِينِ (٧٩) وَإِذَا مَرِضۡتُ فَهُوَ يَشۡفِينِ (٨٠)

صدق الله العظيم

“Tuhan yang menciptakan aku maka Dialah yang mengurniakan hidayah kepadaku. Dan Dialah yang mengurniakan aku makan dan minum. Dan jika aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan aku”

Attachments