Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

JUJUR DAN AMANAH DALAM BERNIAGA

Muslimin yang dirahmati Allah,

BERTAQWALAH kita kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepadanya. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.

Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 168 tafsirnya:

“Wahai manusia! Makanlah (makanan) daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang nyata bagi kamu."

Jemaah yang dirahmati Allah,

Agar Islam menuntut umatnya mencari rezeki melalui jalan yang halal lagi baik bagi memenuhi tuntutan dan keperluan kehidupan sama ada untuk diri sendiri mahupun untuk orang-orang yang berada di bawah tanggungan.

Ketahuilah, bahawa terdapat cara ataupun jalan yang boleh dilakukan dalam mencari rezeki, antaranya ialah melalui berniaga. Dalam berniaga, antara ciri utama yang perlu kita amalkan adalah bersikap jujur dan amanah.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam menjelaskan dalam hadis baginda peniaga yang jujur dan amanah dalam mengendalikan perniagaan itu telah dijanjikan kedudukan yang tinggi dan mulia di akhirat kelak. Daripada Said Khudri Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda yang maksudnya: Peniaga yang boleh dipercayai dan amanah itu, akan bersama para nabi, siddikin dan para syuhada. (Hadis Riwayat Imam Termizi)

Sesungguhnya seorang yang jujur dan amanah itu memang selayaknya mendapat ganjaran yang sedemikian. Ini kerana dalam dunia perniagaan, seorang peniaga itu akan menghadapi pelbagai cubaan dan dugaan seperti cenderung untuk bersifat tamak bagi mendapatkan keuntungan yang banyak walaupun melalui jalan yang salah seperti melakukan penipuan, pengkhianatan dan seumpamanya.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Para peniaga hendaklah sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam menjalankan perniagaan mereka agar tidak terjerumus melakukan apa jua perbuatan yang menyalahi hukum syarak dan juga undang-undang negara seperti menjual barangan yang haram seperti arak, barang curian, barang seludupan dan seumpamanya. Hasil yang diperolehi itu tidak akan membawa ketenangan dan ketenteraman jiwa keluarga dan harta benda. Malah ia membawa kepada dosa dan memakan harta orang iaitu secara salah.

Dalam konteks perniagaan dan perdagangan, apa yang membimbangkan ialah, fenomena penipuan khususnya di dalam aktiviti import dan eksport sebenarnya telah berlaku pada masa ini. Ia dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Mereka cuba membawa masuk komuditi dan barangan ke negara ini dengan pelbagai cara, antaranya:

Pertama: Tanpa memberikan maklumat pengishtiharan yang betul kepada pihak berkuasa.

Kedua: Menyembunyikan barangan yang dibawa supaya tidak dapat dikesan oleh pegawai-pegawai bertugas dipos-pos kawalan atau di tempat-tempat pemeriksaan.

Ketiga: Menyeludupan barang masuk melalui hutan-hutan, sempadan darat dan perairan yang tidak diketahui tahap keselamatannya dari serangan binatang buas dan sebagainya.

Si penyeludup ataupun orang yang tidak bertanggungjawab cuba membawa masuk barangan atau apa jua komiditi dari luar negara ini hanya memikirkan kebaikan jangka pendek yang diperolehi dari upah, imbalan atau keuntungan dari penjualan barangan atau komuditi tersebut. Akan tetapi jika diukur dari jangka panjang, barangan yang diseludup mungkin sahaja membahayakan dan memudharatkan pengguna yang akan menggunakan barangan tersebut khasnya dalam konteks kesihatan mahupun keselamatan.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Dalam memastikan bahawa aktiviti perniagaan dan perdagangan di negara ini adalah betul dan bersih daripada penipuan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Kementerian Kewangan dan Ekonomi berperanan bagi mempastikan aktiviti import dan export ini dilaksanakan selaras dengan memenuhi kehendak undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkuatkuasa pada masa ini.

Perlu diingat, bahawa para peniaga hendaklah menjalankan perniagaan mereka dengan cara yang diredhai Allah Subhanahu Wata'ala. Janganlah kerana hendak meraih keuntungan yang berlipat ganda, maka perkara yang salah pula dilakukan. Ingatlah, bahawa Allah Subhanahu Wata'ala Maha Melihat dan Maha Mengetahui setiap perbuatan hamba-hambaNya termasuk dalam urusan jualbeli. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Mulk ayat 14 tafsirnya:

“Adakah Allah menciptakan (sekalian makhluk itu) tidak mengetahui (apa yang kamu rahsiakan dan nyatakan)? Padahal Dia Maha Mendalam Pengetahuannya lagi Maha Teliti."

Jemaah yang dirahmati Allah,

Dalam perniagaan, sememangnya semua peniaga mahukan keuntungan, namun dalam mencari keuntungan, para peniaga hendaklah menitik beratkan kejujuran dan sikap amanah. Ini kerana kejujuran dan amanah itu merupakan antara punca mendapat keberkatan dalam rezeki. Perlu diingat peniaga lebih mengutamakan keuntungan sehingga sanggup menipu dan khianat kepada orang ramai sebenarnya telah memilih jalan yang tidak halal walaupun hasil dari tipu daya tersebut membawa keuntungan yang lumayan dan kemewahan dalam kehidupan. Namun hasil yang diperolehi itu tidak akan sama sekali mendatangkan keberkatan, malah mengundang kemurkaan  Allah Subhanahu Wata'ala.

Akhirnya marilah kita sentiasa memastikan bahawa sumber rezeki yang kita perolehi itu adalah dari sumber yang halal dan sama-samalah kita berdoa semoga kita menjadi orang yang sentiasa bersyukur dan tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang dilalaikan oleh urusan perniagaan dan jualbeli daripada mengingat Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah An-Nur ayat 37 tafsirnya:

“(Iaitu) orang-orang yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak juga oleh jualbeli daripada mengingat Allah, dan daripada mendirikan sembahyang serta membayar zakat, mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya hati dan padangan berbolak-balik (disebabkan huru-hara hari kiamat itu)."


Attachments